KUALA LUMPUR – Tokoh korporat dan ahli perniagaan baharu dijemput menghadiri program Business Network Roadshow (BNR) untuk menyampaikan potensi perniagaan mereka kepada pelabur dalam dan luar negara.
Pengarah Wealthpier Berhad merangkap penganjur BNR, Muhammad Azim Ishudin berkata, program itu memperuntukan masa lebih kurang 10 minit kepada golongan itu yang telah bermula di Lembah Klang.
Jelas beliau, BNR merupakan platform bagi individu yang bersemangat tinggi untuk membangunkan empayar perniagaan.
“Dalam sesi pengenalan, peserta datang daripada pelbagai latar belakang yang kebanyakannya sudah mempunyai syarikat berdaftar dan mengendalikan perniagaan namun “tersangkut” untuk terus berkembang.
“Rata-rata peserta sudah berada dalam bidang perniagaan tetapi keuntungan yang dierima gagal membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan kekurangan ilmu yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Azim menambah, pada setiap sesi pengenalan jelajah itu, pihaknya menjemput syarikat korporat, wakil perbankan dan tokoh perniagaan terkenal untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan sehingga berjaya.
“Melalui BNR, peserta berpeluang bertemu sendiri dengan ahli korporat dan perniagaan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman pada peringkat sesi pengenalan,” ujarnya.
“Seterusnya kumpulan peserta akan dibimbing oleh perunding perniagaan jemputan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif daripada Precession Capital Berhad, Nazril Idrus yang berpengalaman membimbing 700 individu dalam program Advance Business Class (ABC) kendaliannya sejak 2017,” katanya.
Sementara itu, Nazril yang juga pelakon ketika ditemui berkata, peserta program ABC akan diberi pelbagai pendedahan dan ilmu berguna mengenai hala tuju syarikat, ilmu mengenai cara untuk melaksanakan mekanisme pasaran modal, pengurusan kewangan dan juga tadbir urus korporat.
“Ramai usahawan di negara ini masih tidak tahu tentang pelbagai aspek berkaitan tadbir urus korporat, hala tuju untuk menilai syarikat sedia ada di pasaran dan juga merancang secara serius untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Isu yang lebih menarik, ada yang tidak tahu cara untuk proses penyenaraian dan mereka tidak melihat potensinya untuk jangka masa panjang,” kata suami kepada pelakon dan pengacara Sazzy Falak.
Tambah Nazril, selain ABC, syarikat juga menawarkan program Miracle of Capital (MOC) yang dikhususkan kepada syarikat-syarikat yang telah berjaya di bawah kendalian jurucakapnya Dr. Jeh Syan Wong.
Program tersebut berjaya membimbing lebih 4,000 individu daripada 18 buah negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wealthpier Berhad, Idayu Ideris berkata, program BNR dan ABC anjuran Wealthpier mirip drama korea yang pernah trending di saluran Neflix bertajuk “Start Up” baru-baru ini.
“Sebahagian besar modul daripada Wealthpier mirip dengan jalan cerita drama korea terbabit yang memberi bimbingan kepada peserta di kalangan usahawan di sebuah lokasi dikenali sebagai Sand Box.
“Sementara Wealthpier pula sudah mengenal pasti sebuah lokasi untuk membimbing peserta dalam program di Reactor Campus yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut BNR boleh melayari www.wealthpierberhad.com. – MalaysiaGazette