KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menggantung buat sementara Sijil Kebenaran untuk Organisasi Latihan yang Diluluskan ke atas My Heli Club di bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 untuk tempoh enam bulan berkuatkuasa hari ini.
Penggantungan sementara ini berikutan dua kemalangan yang melibatkan tiga helikopter yang dikendalikan oleh My Heli Club pada 8 November 2020 di Taman Melawati, Selangor dan 1 Januari lalu di Pulau Indah, Klang, Selangor.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, My Heli Club masih dibenarkan untuk melakukan penerbangan persendirian namun dilarang melakukan penerbangan latihan buat masa ini.
”CAAM sedang menjalankan siasatan dalam aspek pengawalseliaan mengenai kemalangan yang melibatkan helikopter-helikopter yang dikendalikan oleh My Heli Club dan notis penggantungan telah dikeluarkan dengan serta-merta.
”Penggantungan ini selaras dengan peraturan penerbangan awam Malaysia demi memastikan keselamatan semua anggota kelab dan pihak awam,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kejadian terbaharu pada 1 Januari lalu membabitkan helikopter jenis Robinson R66 yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 9.05 pagi dan berada di ruang udara Pulau Indah, Pelabuhan Klang sekitar 9.21 pagi.
Juruterbang melaporkan operasi normal pada 9.45 pagi dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur tidak menerima sebarang panggilan kecemasan selepas itu.
Bagaimanapun, helikopter terbabit kemudiannya terhempas di kawasan lapang berdekatan Pulau Indah antara pukul 9.45 hingga 10 pagi.
Juruterbang dan pembantu juruterbang dilaporkan cedera namun berada dalam keadaan stabil.
Manakala dalam kejadian 8 November tahun lalu, dua maut selepas dua helikopter terhempas di Taman Melawati.
Kedua-dua buah helikopter iaitu 9M-HCA dan 9M-HCB, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang untuk membuat penerbangan bersama. – MalaysiaGazette