KUALA LUMPUR – Dakwaan gabungan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) hanya imaginasi.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, meskipun timbul spekulasi parti politik terbabit akan bekerjasama namun tiada usaha dilakukan ke arah itu.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Pakatan Harapan (PH) berpendirian kerjasama boleh diwujudkan dengan mana-mana pihak, sama ada pembangkang atau kerajaan, atas prinsip mewujudkan pentadbiran negara yang baik.
“Nama itu sudah pasti rekaan beliau tapi ini menunjukkan wujudnya imaginasi atau daya fikiran, saya sendiri rasa itu mungkin rekaan imaginasi beliau pada waktu ini. Jadi kita tunggu dan lihat.
“Bagi PKR dan rakan dalam Amanah dan DAP, penjelasan yang diberi Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad yang lalu jelas iaitu Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada di pihak pembangkang mahupn pihak kerajaan berlandaskan prinsip-prinsip yang telah dijelaskan khususnya tatakelola kerajaan perlu diperbaiki, pentadbiran yang baik, melawan rasuah dan beberapa lagi prinsip yang lain.
“Saya rasa jelas sekiranya mana-mana pihak bersedia bekerjasama di atas landasan tersebut maka saya percaya kita berkemungkinan terbuka,” katanya kepada pemberita.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tidak ada yang mustahil dalam politik kerjasama boleh dilakukan dengan PKR, DAP dan Amanah.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, UMNO hanya akan bekerjasama dengan pihak yang tidak mengganggu agenda perjuangannya. – MalaysiaGazette