ENGLAND – Pasukan perlumbaan Formula 1, Williams telah melantik Dave Redding sebagai pengurus yang baharu.
Bagaimanapun, Redding dijangka hanya memulakan tugas baharu itu bersama Williams bermula 17 Julai ini.
Redding akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan pengurusan operasi dan aspek sukan pasukan William.
Sebelum ini Redding memikul tanggungjawab sama dengan pasukan McLaren sebagai Pengurus Pasukan sejak 2009 dan secara asal menyertai McLaren pada tahun 2001 sebagai Jurutera sistem permotoran.
“Saya telah berkecimpung dalam dunia permotoran F1 selama 30 tahun dan tahu Williams satu pasukan perlumbaan yang terbaik dan saya bangga menyertai pasukan ini.
“Saya tidak sabar untuk memulakan tugas dengan Williams,” katanya kepada SkySports semalam.
Redding menggantikan Steve Nielsen yang merupakan Pengurus Sukan dan akan meninggalkan Williams pada 31 Julai ini.
Ketua Pegawai Teknikal Williams, Paddy Lowe mengucapkan penghargaan kepada segala dedikasi dan kerjasama yang diberikan Steve kepada Pasukan Williams sejak 2014.
“Dia telah melakukan tugasnya dengan cemerlang dalam menstruktur semula pasukan ini. Kami sangat bangga berpeluang bekerja dengan Steve selama ini,” jelasnya.
Lowe juga mengalu-alukan Dave ke pasukan Williams dengan penuh pengalaman dan ilmu yang bakal mengangkat Williams ke tahaop lebih tinggi dalam dunia Formula 1. – MalaysiaGazette