KUALA LUMPUR – Tidak ada sebab dan alasan kenapa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak dapat diadakan dalam tempoh terdekat ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, jika pandemik Covid-19 yang dijadikan alasan oleh kerajaan, itu adalah tidak tepat sama sekali.
Ini kerana, katanya, dunia sekarang sudah mempunyai vaksin yang boleh melindungi manusia dari dijangkiti wabak itu.
“Saya melihat Covid-19 bukan lagi alasan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak adakan PRU lebih awal, kerana kita dimaklumkan telah ada vaksin.
“Cuma, kita persoalkan kenapa Malaysia lewat menerima vaksin, sedangkan 50 negara di dunia ini sudah mula menyuntik vaksin kepada rakyatnya sejak Disember lalu.
“Kenapa di Malaysia hanya bulan Februari ini hendak suntik vaksin kepada satu juta rakyatnya. Kerajaan kena bertindak laju sikit,” katanya kepada pemberita selepas program pertemuan Ketua-Ketua UMNO Bahagian dengan Presiden UMNO di PWTC, di sini, hari ini.
Kata Ahmad Maslan, UMNO dan seluruh jentera parti kena bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akan berlaku PRU.
Katanya, itu yang mustahak dan perlu diberikan tumpuan oleh pemimpin serta ahli di peringkat akar umbi.
“Kita tidak perlu takut diadakan PRU kerana kerajaan PN ini sebenarnya betul-betul berada di atas garisan, dan nak jadi kerajaan kena 111 + 1 baru boleh jadi kerajaan.
“Tetapi, kerajaan ini adalah kerajaan 111 + 1, dengan erti kata, kerajaan paling tipis majoriti dalam dunia atau kerajaan tidak stabil. Ini kena akui semua pihak.
“Nak pulihkan ekonomi, syaratnya kerajaan kena stabil. Pelabur tidak datang ke Malaysia sebab kerajaan tak stabil, amat rapuh,” katanya.
Berhubung laporan media mengenai kenyataan Ahmad Zahid, kononnya UMNO mahu keluar dari kerajaan PN menjelang Februari ini, Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung BN yang baharu berkata, itu hanya laporan media.
Katanya, apa-apa perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO. – MalaysiaGazette
Rakyat akan menghukum UMNO sebagaimana rakyat Sabah menghukum Warisan apabila suara rakyat tidak di dengar.