KUALA LUMPUR – Selepas bergelut dengan segala bentuk cabaran pada 2020 akibat pandemik COVID-19, rakyat Malaysia tetap optimis bahawa 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik.
Menurut IPSOS, sebuah syarikat penyelidikan pasaran global, 82 peratus rakyat Malaysia percaya 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik berbanding 2020.
Dapatan kajian itu juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia meramalkan pemulihan ekonomi dan kehidupan yang normal perlu menempuhi perjalanan yang jauh dalam tempoh pasca pandemik.
“2020 adalah pengalaman yang sangat teruk kepada individu dan juga keluarga, tanpa mengira negara asal mereka.
”Namun, masyarakat global sangat optimis bahawa 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik terutama bagi mereka yang berasal dari China, India atau Malaysia,” kata IPSOS dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kajian Penasihat Global IPSOS mengenai Ramalan 2021 juga menunjukkan bahawa 75 peratus rakyat Malaysia tetap optimis terhadap ketersediaan vaksin COVID-19 secara menyeluruh di negara ini. – MalaysiaGazette