
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif yang melarang penggunaan transaksi pada lapan aplikasi dari China.
Aplikasi tersebut merangkumi platform pembayaran popular Alipay, serta pembayaran QQ Wallet dan WeChat.
Perintah itu akan berkuatkuasa dalam masa 45 hari dan aplikasi tersebut telah dilarang kerana ia merupakan satu ancaman terhadap keselamatan negara AS.
Ini menandakan kemungkinan aplikasi tersebut dapat digunakan bagi mengesan dan membina data peribadi terhadap pekerja persekutuan AS.
Di samping itu, Tencent QQ, CamScanner, SHAREit, VMate dan WPS Office juga termasuk dalam senarai.
Ujar Trump, Amerika Syarikat harus mengambil tindakan agresif terhadap mereka yang mengembangkan atau mengawal aplikasi perisian yang berkaitan dengan China bagi melindungi keselamatan negara.
“Dengan mengakses peranti elektronik peribadi seperti telefon pintar, tablet, dan komputer, aplikasi perisian yang disambungkan di China dapat mengakses dan mengambil sejumlah besar maklumat dari pengguna, termasuk maklumat peribadi,” katanya seperti dipetik CNN.
Trump telah meningkatkan tekanan terhadap syarikat China pada bulan terakhirnya di pejabat, termasuk syarikat-syarikat yang dianggap berisiko bagi keselamatan negara. – MalaysiaGazette