PARIS – Mauricio Pochettino yang dilantik pengurus baharu Paris Saint-Germain (PSG) telah meletakkan beberapa keutamaan untuk memastikan ‘projek besar’ kelab Perancis itu mengikut perancangannya.
Jurulatih warga Argentina itu pernah beraksi di Paris selama dua setengah tahun dan tentunya dia menyedari bahawa beliau tidak mempunyai banyak masa untuk ‘membina’ pasukan yang diletakkan sasaran menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Tiga pemain yang menjadi sasarannya adalah penyerang Juventus, Paulo Dybala, penjaga gol, Hugo Lloris dan pemain tengah Spurs, Dele Alli.
Pochettino mahu mendaparkan Dybala selepas pengurus baharu kelabnya, Andrea Pirlo kini lebih gemar menggandingkan Cristiano Ronaldo dengan Alvaro Morata.
Lloris pula dibentuk oleh Pochettino sehingga menjadi seorang jeneral di atas padang dan kini merupakan kapten kelab dan skuad kebangsaan.
Selepas Thiago Silva meninggalkan PSG, kelab tersebut jelas tiada pemain yang mampu menjadi pemimpin hebat di atas padang dan pastinya Lloris adalah salah satu pilihan terbaik untuk Pochettino.
Alli bukan lagi pilihan utama untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Spurs terutamanya sejak ketibaan Jose Mourinho. Malah dia telah beberapa kali dikritik secara terbuka oleh pengurusnya itu.
Alli pernah mencapai tahap terbaiknya ketika di bawah Pochettino dan pastinya dia tahu cara terbaik untuk kembali menjadikan pemain muda itu sebagai ‘senjata’ berbahaya seperti mana satu ketika dahulu. – MalaysiaGazette