Home Sukan Zarif mahu cemerlang bersama Pahang

Zarif mahu cemerlang bersama Pahang

Zarif Irfan.

KUALA LUMPUR – Mahu meletakkan karier di tahap lebih tinggi menjadi antara punca bekas penjaga gol Felda United, Zarif Irfan Hashimuddin tidak berfikir panjang menerima tawaran Pahang pada saingan musim ini.

Walaupun ada menerima beberapa tawaran pasukan lain, Zarif akui peluang bermain dengan Pahang adalah sesuatu yang dinantikan kerana menganggap pasukan dari Pantai Timur itu punyai nama yang cukup besar dalam sejarah bola sepak Liga Malaysia.

Malah, dia berharap mampu tampilkan prestasi yang cemerlang dengan Pahang serta sebagai batu loncatan buat dirinya berada dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Selepas pasukan Felda memilih untuk tidak lagi beraksi, saya ada berbincang dengan dua dan tiga pasukan lain sebelum tawaran dari Pahang datang menerusi pengurusnya, Datuk Suffian (Mohammed Awang).

“Beliau dan pengurusan telah berikan keyakinan yang mereka punyai perancangan jangka panjang dengan saya kerana umur saya masih muda dan optimis terhadap kemampuan saya.

“Bagi saya, ini peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana Pahang adalah satu nama yang begitu besar dalam liga kita dan saya rasa inilah peluang terbaik buat diri saya kembali naikkan karier.

“Saya mahu dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan, sebelum ini saya pernah merasai peluang sedemikian pada 2019 apabila Tan Cheng Hoe pernah memanggil saya gantikan Hafizul Hakim yang cedera pada saingan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

“Itu azam saya dengan Pahang dan akui ini antara detik terbaik dalam karier dan saya sudah cukup bersedia untuk beraksi kerana rasa semakin matang untuk lebih kerap bermain selepas lalui pelbagai pengalaman dalam beberapa musim ini, ” katanya.

Zarif yang bermain di Piala FAM bersama Air-Asia Allstars pada 2015 pernah memulakan kerjayanya selaku pemain amatur apabila pernah bertindak selaku ejen ramp di syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.

Segala-galanya berubah apabila dia ke Selangor selama dua musim dari 2016 ke 2017, yang menukar haluan kerjayanya selaku pemain profesional.

Dia berhijrah ke PKNS selepas itu selama dua musim dan bermain untuk Felda pada musim 2020 namun banyak bersaing dengan Muhaimin Mohamad bagi merebut tempat selaku penjaga gol utama.

Bakal dicabar penjaga gol berpengalaman, Helmi Eliza Elias, dia berikrar akan berikan segalanya dalam sesi latihan bagi mendapat tempat selaku penjaga gol nombor satu skuad Tok Gajah.

“Saya amat hormati Helmi selaku penjaga gol yang cukup kaya dengan pengalaman dan banyak perkara boleh dipelajari dengan dirinya selepas menyertai sesi latihan di Pahang.

“Namun, saya datang ke Pahang bukan untuk menjadi penumpang, sebaliknya mahu membuktikan potensi yang saya ada serta menjadi penjaga gol utama Pahang.

“Jadi, saya akan berikan komitmen serta komited di padang latihan serta jika diberi peluang untuk bermain, saya akan pastikan berada di tahap terbaik bagi membantu pasukan, ” katanya. – MalaysiaGazette