Home Utama UMNO bincang usul putus hubungan dengan Bersatu dalam PAU akhir bulan ini

UMNO bincang usul putus hubungan dengan Bersatu dalam PAU akhir bulan ini

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan hadir pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara usul yang akan dibawa untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual pada 31 Januari ini.

Turut dibawa ke perhimpunan tersebut kelak usul supaya kerjasama UMNO dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dipertahankan.

Parti itu juga akan membenarkan usul gesaan supaya PRU15 diadakan sebelum berakhirnya suku pertama tahun ini tertakluk kepada status Covid-19 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan berkata, kesemua usul yang akan dibawa ke PAU menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa depan parti dan negara.

Kenyataan tersebut diedarkan kepada para wartawan yang menunggu di ruang legar Menara Dato’ Onn sejak petang untuk membuat liputan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Menurut Shahrir, mesyuarat pada malam ini turut mengambil maklum mengenai pertukaran jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang secara tradisinya digalas semula oleh Setiusaha Agung UMNO.

Katanya, keputusan tersebut sudah mendapat persetujuan lisan presiden-presiden parti komponen dan akan diabsahkan dalam Mesyuarat Dewan tertinggi BN dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat turut memutuskan untuk menambah kekuatan jentera di negeri-negeri bagi membantu mangsa banjir melalui Skuad Sayang Wanita dan Skuad Sabil. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa mau tunggu2, mau putus kalu putuslah. Itu telur kasi berani sikitlah…nampak benor pembohong ngan penyamun tarbus

Comments are closed.