KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik kepada orang ramai di kawasan banjir.
Ketika banjir:
1. Apabila premis dinaiki air, hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan
pastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik
berlaku;
2. Hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB
Careline sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan segera
di kawasan terlibat;
3. Jangan menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air
banjir walaupun ianya bersalut dengan penebat;
4. Sebelum berpindah, matikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup
suis utama;
5. Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan
elektrik;
6. Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum
anda keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian
rumah anda;
7. Hindari daripada menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi
mengelak risiko terkena renjatan elektrik.
Selepas banjir:
1. Sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah, pastikan suis
utama pada papan agihan telah ditutup;
2. Pastikan suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir diperiksa
dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya
Tenaga sebelum digunakan semula;
3. Jangan menyentuh, memotong atau menarik dahan pokok yang jatuh menimpa talian
elektrik kerana ia mungkin masih menyalurkan bekalan elektrik. Maklumkan kepada
TNB untuk tindakan segera;
4. Jangan sekali-kali menggunakan tangga atau galah berhampiran dengan talian elektrik.
TNB berkata, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang dan kabel elektrik yang putus semasa banjir.
Pengguna juga boleh menghubungi TNB sekiranya ternampak kejanggalan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine. – MalaysiaGazette