Home Nasional Operasi mencari mangsa tragedi tanah runtuh masih diteruskan

Operasi mencari mangsa tragedi tanah runtuh masih diteruskan

Kejadian tanah runtuh di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, Ahad lalu.

GUA MUSANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang dipercayai tertimbus lumpur dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, Ahad lalu, masih diteruskan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, walaupun menggunakan jengkaut untuk menggali kawasan yang ditenggelami lumpur itu tetapi masih gagal menemukan mangsa.

“Operasi mencari dipecahkan kepada empat kumpulan dalam jarak sejauh empat kilometer di kawasan persekitaran sungai dan kebun sayur berhampiran.

“Seramai 35 anggota terbabit dalam usaha mencari iaitu polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak empat hari lalu,” katanya selepas meninjau operasi mencari mangsa hilang di lokasi tanah runtuh, Lojing, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata anggota penyelamat terpaksa lebih berhati-hati kerana lumpur terlalu dalam dan mudah terdedah dengan kejadian tidak diingini.

Dalam kejadian tanah runtuh pada jam 3.30 petang itu seorang lelaki warga Bangladesh, Akhund Md Ziarul, 37, dilaporkan hilang dipercayai tertimbus berikutan ketika kejadian ia membabitkan kebun sayur dan sebuah bangsal penginapan pekerja.

Dalam kejadian itu juga menyebabkan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan berikutan jalan dua lorong di lokasi kejadian dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur sejauh dua kilometer selain jalan yang rosak teruk.

Sik berkata, operasi mencari juga banyak terdedah bahaya berikutan terdapatnya beberapa pergerakan tanah serta lumpur yang masih turun dari kawasan bukit.

“Anggota penyelamat ada menemui bungkusan pakaian dalam plastik dipercayai milik mangsa dan kesukaran kerana lumpur yang terlalu dalam sehingga 1.8 meter menyukarkan mengesan mangsa,” katanya

— BERNAMA