Home Politik Putus kerjasama dengan Bersatu, keputusan tidak bijak – Rosol

Putus kerjasama dengan Bersatu, keputusan tidak bijak – Rosol

Rosol
Rosol Wahid

KAJANG – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Terengganu, menyifatkan, langkah UMNO untuk tidak bekerjasama lagi dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU15) merupakan satu tindakan tidak bijak.

Datuk Rosol Wahid berpendapat, rakyat mahukan perpaduan kerana dengan perpaduan mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat.

“Kita pun tak tahu ke mana hala tuju yang hendak dibawa sebab bila kita cakap tentang perpaduan Islam, rasanya inilah peluang terbaik antara tiga-tiga parti ini bergabung untuk membina negara iaitu Pas, Bersatu dan juga UMNO.

“Kalau nak berkecuali kita kata bila berpecah kita lemah, bila bersatu kita kuat. Untuk nak bersatu dan bersama perlu membentuk kekuatan sebab itu yang diingini oleh seluruh rakyat.

“Tapi bila perpaduan dah ada tiba-tiba ada yang nak lari daripada perpaduan saya rasa ia satu tindakan yang tidak bijak,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Program Segar@Mesra di, Prima Saujana di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut Rosol berkata, beliau mahu menunggu dan melihat apa yang akan berlaku selepas ini berikutan keputusan yang bakal dibuat oleh UMNO itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kegelisahan sebilangan netizen berhubung situasi politik negara ketika ini, Rosol berkata, rakyat boleh menilai sendiri yang mana kaca dan yang mana permata.

Ujarnya, rakyat boleh mencermin siapakah sebenarnya yang berkhidmat untuk mereka dan siapa pula yang cuba menangguk di air yang keruh.

Menjawab pertanyaan mengenai keperluan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat sebagaimana yang diminta oleh UMNO, Rosol menegaskan, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana pentadbiran negara berada dalam keadaan yang stabil ketika ini.

“Pada saya tidak wajar (diadakan PRU) dan saya yakin rakyat pun dah letih.

“Pilihan raya baru dua atau tiga tahun diadakan dan kerajaan baru nak merancang untuk nak buat pembangunan dan sebagainya. Jadi tiada sebab untuk nak bubar Parlimen untuk diadakan pilihan raya.

“Tiada alasan yang kukuh. Kalau alasan bahawa kita ni kejam sebab lakukan apa yang dilakukan oleh pentadbiran Mahathir (Tun Dr Mahathir ketika pemerintahan Pakatan Harapan) itu bukan alasan yang baiklah, bukan untuk rakyat,” katanya.

Dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi, parti itu memutuskan hubungan dengan Parti Bersatu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ia antara usul yang akan dibawa untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada 31 Januari ini.

Perkara itu diputuskan selepas mendengar gesaan usul daripada 189 Bahagian yang mendesak agar UMNO membuat keputusan tersebut untuk kelangsungan parti. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alaaahaiiii tak payah guna nama rakyat lah musibat katak…ko menang jd YB Hulu Terengganu atas tiket UMNO..lepas tu ko khianat undi rakyat, ko melompat, lagi mau pakai nama rakyat lagi…geli lah tgk katak2 ni

Comments are closed.