PADA 16 dan 17 November tahun lalu, gerakan Hamas dan Fatah telah mengadakan pertemuan di Kaherah bagi membincangkan usaha untuk mencapai perdamaian dalaman dan menamatkan persengketaan.
Kedua-dua gerakan tersebut juga telah mengadakan pertemuan pada bulan September lalu di kota Istanbul, Turki, yang mana mereka sepakat mengenai visi, yang akan disampaikan untuk dialog nasional yang komprehensif dengan penyertaan rakyat Palestin.
Namun, usaha-usaha tersebut kemudian terhenti dan kedua-dua gerakan tersebut bertukar pandangan mengenai siapa yang bertanggungjawab untuk menghalang usaha pendamaian.
Hinggakan pada 25 November, Fatah mengatakan bahawa dialog pendamaian Palestin tidak berjaya kerana tidak setuju dengan Hamas mengenai tarikh pilihan raya.
Pemilihan di negara Palestin kali terakhir untuk Majlis Perundangan diadakan pada awal tahun 2006 dan gerakan Hamas menang majoriti, sementara setahun sebelumnya pemilihan presiden pula pada 2005, Mahmoud Abbas menang.
Hamas ingin akhiri perpecahan, jalinkan kerjasama
Pada 2 Januari baru-baru ini, Mahmoud Abbas mengumumkan bahawa beliau menyambut baik isi surat yang diterima daripada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh bagi mengakhiri perpecahan dan mengadakan pilihan raya.
Agensi Berita Rasmi Palestin (WAFA) melaporkan bahawa mesej yang Haniyeh sampaikan kepada Abbas adalah mengakhiri perpecahan dan membangunkan kerjasama bagi
mencapai perpaduan nasional melalui pilihan raya demokratik dengan perwakilan berkadar penuh, pemilihan perundangan, presiden dan dewan nasional.
Abbas menegaskan komitmennya untuk membangunkan kerjasama dan perpaduan nasional serta memutuskan untuk mengundang ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Hanna Nasser bagi membincangkan prosedur yang harus diikuti untuk mengeluarkan keputusan pemilihan menurut undang-undang.
Abbas mengucapkan terima kasih kepada Mesir, Qatar, Turki, Rusia dan Jordan yang menyumbang usaha baik mereka untuk merapatkan sudut pandang.
Pada Jumaat lalu, Haniyeh mengungkapkan dalam kenyataannya bahawa ada usaha baru untuk memulakan kembali dialog nasional bagi mencapai perdamaian nasional.
“Terdapat usaha baru untuk meneruskan dialog nasional untuk mencapai perdamaian dan perpaduan nasional," sebagaimana yang dinyatakan Haniyeh dalam kenyataan tersebut.
Membebaskan Palestin adalah tanggungjawab semua
Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai Hamas, bermaksud Gerakan Pembebasan Islam ialah sebuah gerakan yang telah ditubuhkan pada tahun 1987, yang asalnya dipelopori oleh Ikhwanul Muslimin dari Mesir yang sentiasa menyalurkan bantuan kepada perjuangan Palestin sejak Perang Arab-Israel 1948.
Selepas Perang Arab-Israel, Ikhwanul Muslimin mula bergerak di Gaza dan Tebing Barat.
Hingga pada tahun 1987, Hamas ditubuhkan dan Sheikh Ahmed Yassin dilantik sebagai pemimpin utamanya iaitu sebagai Mursyid Am. Ideologi gerakan ini agak berbeza dengan pertubuhan lain sebab mereka membawa Islam dan jihad dalam gerakan mereka.
Bagi Hamas, perjuangan membebaskan Palestin adalah tanggungjawab semua umat Islam di dunia ini. Hamas juga yakin bahawa perjuangan menentang Zionis adalah perjuangan untuk hidup dan bukannya hanya merebut sebuah negara.
Berbeza dengan Hamas, Fatah ditubuhkan lebih awal iaitu pada tahun 1959 oleh Yasser Arafat dan rakan-rakannya. Pertubuhan ini telah mula menyertai politik pada tahun 1965 dan selepas itu menyertai Palestine Liberation Organization (PLO) pada tahun 1967, sebuah gabungan pelbagai parti dan organisasi di Palestin.
Penubuhan Fatah pada awalnya turut dipengaruhi oleh Ikhwanul Muslimin. Namun, apabila Fatah banyak bergantung dengan sokongan negara-negara Arab lain, ideologinya mula berubah kepada sekular dan nasionalis.
Akhirnya pada tahun 1960, Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan untuk menentang dasar Fatah dan kerana aitulah tercetusnya perpecahan pertama antara para pejuang Palestin.
Perbezaan ideologi antara Fatah dan Hamas menjadikan dua gerakan ini berkonflik. Hamas dengan sikapnya yang tidak sesekali berlembut dengan Israel, berbeza dengan Fatah yang banyak berlembut dengan Israel.
Moga segera berakhir
Sedarkah kita bahawa keadaan di Palestin tidak pernah aman sejak negara haram Israel ditubuhkan pada tahun 1948? Dan sejak itulah rakyat Palestin berjuang untuk membebaskan tanah air mereka.
Menurut pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr Abu Hanifah Haris, konflik awal antara Hamas dan Fatah adalah ketika PLO (yang dikuasai Fatah) menerima resolusi Perjanjian Damai Madrid 1991. Hasilnya, Israel menarik balik status pengganas terhadap PLO.
“Kemuncak ketegangan Fatah-Hamas berlaku pada 1993 apabila PLO menandatangani Perjanjian Damai Oslo antara PLO dan Israel. Tindakan tu dilihat bercanggah dengan pandangan majoriti rakyat Palestin, termasuk Hamas yang melihat bahawa kerjasama
dengan Israel adalah sia-sia dan mengkhianati kepercayaan rakyat Palestin terhadap PLO.”
Realitinya, rundingan antara Fatah dan Hamas telah bermula sejak tahun 2011 dan terus bersambung sampai tahun 2014. Setelah banyak kali cubaan, akhirnya pada 2014 Fatah
dan Hamas bersetuju untuk adakan perjanjian damai dan tubuhkan kerajaan campuran.
Sebenarnya yang perlu diperkuatkan ialah perpaduan, kerjasama dan kesatuan antara rakyat. Boleh jadi kerana kelemahan negara-negara Arab dan kelemahan umat Islam sendiri, maka tercetuslah konflik yang berlaku antara Fatah dan Hamas ini.
Bersama-samalah kita doakan semoga usaha-usaha yang dilakukan kali ini membuahkan hasil yang lebih baik untuk rakyat Palestin demi mempertahankan kiblat pertama umat Islam ini.
Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia