KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa supaya bertindak lebih tegas terhadap pihak yang cuba membangkitkan ideologi komunis dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ini kerana, sudah wujud pula gerakan secara senyap untuk memomokkan sentimen komunis apabila secara terang-terangan dan berani memaparkan perjuangan kumpulan itu di premis-premis terbuka seperti restoran.
Berang dengan perkara itu, beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini menuntut kerajaan supaya jangan lagi berlembut dengan pihak terbabit.
Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, beliau kesal kerana masih ada lagi pihak yang sengaja membangkitkan api kemarahan terutama kepada pejuang terdahulu apabila menggunakan kaedah menghasut seperti itu.
Katanya, perkara tersebut tidak boleh lagi dibiarkan kerana sudah acap kali berlaku dan kini sudah tiba masanya kerajaan lebih bertegas kerana pihak terbabit sudah dianggap keterlaluan.
“Kita sokong polis mengoyakkan poster-poster menunjukkan pengganas komunis yang ditampal di restoran-restoran kerana ia sudah melampau.
“Gambar-gambar yang terpampang di restoran-restoran terbabit jelas boleh menghasut pemikiran generasi muda serta merosakkan minda mereka dan ia sememangnya membahayakan negara,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.
Presiden Pertubunan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup pula mendakwa, keberanian pihak terbabit yang cuba menyebarkan ideologi komunis berpunca daripada kelemahan kerajaan pada hari ini dalam menguatkuasakan undang-undang.
Katanya, dengan kelemahan kerajaan itu juga ia telah menyebabkan pihak-pihak terbabit berani mencabar kedaulatan negara apabila memaparkan gambar-gambar pengganas komunis itu
“Untuk apa sekarang ini dibangkitkan anasir-anasir mengembalikan fahaman komunis dalam negara ini yang disokong oleh pemimpin-pemimpin politik.
“Saya lihat ada nama-nama pemimpin itu yang dilihat mencabar PDRM dengan mengatakan PDRM bodoh, nak saman sampai RM10 juta kerana menanggalkan poster-poster di restoran terbabit.
“Ini satu rancangan halus yang dilakukan oleh mereka dek kerana kelemahan kerajaan yang tidak tegas dalam hal tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Tegas Amal Legasi Melayu (TALM), Zainuddin Daud berkata, perbuatan membangkitkan ideologi komunis itu sengaja mahu menimbulkan kemarahan dalam kalangan pejuang-pejuang Melayu tanahair sebelum dan selepas kemerdekaan.
Katanya, sikap mereka itu tidak boleh lagi dimaafkan kerana dengan jelas telah menghiris perasaan terutamanya kepada ahli keluarga pejuang yang terkorban ketika menentang komunis satu ketika dahulu.
“Kami sebagai bekas-bekas tentera dan juga polis yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dalam mempertahankan negara tidak boleh terima perkara seumpama ini berlaku lagi.
“Ini satu perbuatan yang sangat biadap dan kerajaan tidak boleh lagi berdiam diri sebaliknya, perlu menghukum mereka agar ia menjadi pengajaran kepada pihak lain yang cuba bermain api dalam hal seperti itu,” tegasnya.
Sebelum ini, media melaporkan serbuan polis ke atas premis yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di dua premis restoran di Pulau Pinang.
Polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik restoran terbabit menghiasi gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya. – MalaysiaGazette
Lantik Datok Ayob ketuai Polis pulak .. mangkok yg ada pun .
Ideologi2 komunis tersebut telah tersemat kukuh didalam jiwa2 mereka yang bertopengkan demokrasi?
Eloklah kiranya pihak polis dengan segera mengiktiraf mereka2 yang menghasut ini sebagai persona non grata!