Home Politik PRU-14: Guna logo sendiri, DAP boleh diisytihar haram

PRU-14: Guna logo sendiri, DAP boleh diisytihar haram

Ketua Pemuda Sosialis DAP, Wong Kah Woh bimbang dengan fenomena Pakatan Harapan yang menerima dan menyambut baik wakil rakyat daripada UMNO yang lompat parti.
Ketua Pemuda Sosialis DAP, Wong Kah Woh bimbang dengan fenomena Pakatan Harapan yang menerima dan menyambut baik wakil rakyat daripada UMNO yang lompat parti.

KUALA LUMPUR – Ekoran isu ketidak sahihan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, ia boleh menyebabkan parti itu tidak dibenarkan menggunakan logo mereka pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), demikian menurut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Dalam satu kenyataan, Tengku Sariffuddin berkata, semua pemimpin DAP perlu memandang serius isu yang dihadapi DAP dan tidak terus menerus menyerang kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Liew Chin Tong (Ahli Parlimen Kluang) sepatutnya berhenti bercakap apa yang jelas berita palsu, bohong dan kepura-puraan tentang Kerajaan. Dia harus lebih prihatin terhadap masalah serius partinya, DAP.

“DAP tidak tahu sama ada mereka dibenarkan menggunakan logo roket mereka dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Status CEC DAP masih menjadi tanda tanya apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) belum mengesahkan pemilihan semula semua jawatan tertinggi DAP pada 2013.

Pemilihan yang dibuat September 2013 lalu didakwa tidak sah kerana menerima undi dariĀ­pada perwakilan yang bukan lagi menjadi ahli.

“Ini bermakna bahawa setiausaha agung DAP, Penang Official 1, tidak mempunyai kedudukan untuk sebarang kuasa dalam parti itu kerana dia tidak diiktiraf secara sah.

“Malah, kepimpinan DAP seluruhnya berada dalam ancaman dan boleh diisytiharkan sebagai haram kerana dakwaan manipulasi pemilihan mereka,” katanya.

Tengku Sariffuddin memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai “Penang Official 1” sebagai tindak balas terhadap gelaran “Malaysian Official 1”, yang didakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebagai pihak yang menyelewengkan dana 1MDB. -MalaysiaGazette.