Home Pendapat Pengangguran dalam kalangan belia membimbangkan

Pengangguran dalam kalangan belia membimbangkan

Gambar hiasan

PENGANGGURAN adalah masalah makro-ekonomi yang mempengaruhi serta memberi impak secara langsung kepada golongan belia dan merupakan isu yang hangat diperkatakan. Isu ini juga menjadi sebagai modal politik sewaktu musim pilihan raya. Jadi tidak hairanlah jika pengangguran menjadi topik yang sering dibicarakan dalam perdebatan politik dan para ahli politik sering menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka dengan menawarkan peluang pekerjaan yang banyak jika mampu memegang tampuk pemerintahan. Penularan Covid-19 banyak memberi kesan kepada kehidupan manusia di seluruh dunia. Antara golongan paling teruk terjejas akibat penularan wabak ini adalah belia di bawah usia 30 tahun yang majoritinya belum memiliki kestabilan kewangan kerana baru memulakan pekerjaan ataupun masih belum bekerja.

Isu pengangguran dalam kalangan belia bukan satu fenomena baharu di negara ini. Terdapat beberapa aspek yang mendorong kadar pengangguran di negara ini terus meningkat, antaranya kurangnya aspek kemahiran tertentu seperti penguasaan bahasa Inggeris, faktor ketidakbolehan pasaran graduan akibat permintaan rendah majikan untuk kursus diambil graduan serta faktor terlalu memilih pekerjaan.

Isu ini perlu diselesaikan dengan mencari jalan penyelesaian dan tidak boleh dibiarkan berterusan. Belia perlu mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapatan diri sendiri serta menampung keluarga. Bagi merancang kehidupan bermaruah atau “decent living” meraka harus mendapatkan sumber kewangan bagi menjalani kehidupan seharian.

Isu pengangguran dalam kalangan belia perlu diberi penekanan serta fokus bagi mengelakkan golongan ini tidak berhijrah meninggalkan negara untuk mencari kerja di tempat orang yang akhirnya menyebabkan berlaku ‘brain drain’ atau kehilangan sumber manusia berkualiti dalam negara.

Oleh itu, penting semua pihak termasuk belia sendiri mengambil segala usaha dan langkah memastikan isu pengangguran tidak berterusan dalam negara atau meningkat mendadak. Peratusan kadar pengangguran meningkat di paras yang lebih tinggi berbanding dengan tahun tahun sebelumnya kerana pasaran pekerjaan negara terjejas dengan pandemik.

Dasar lebih jelas dan khusus perlu dirangka bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membantu golongan belia. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu mencari satu solusi yang kekal bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia di negara ini. Majlis Pekerjaan Negara (MPN) adalah antara medium terbaik untuk mengkoordinasi dan mencari solusi.

Menurut satu kajian, pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia juga disebabkan pekerjaan yang tidak sepadan (skills mismatch) dengan kemahiran belia (MIDF, 2018). Majoriti peluang pekerjaan yang ada dalam pasaran adalah dalam kategori kemahiran rendah dan sederhana, di mana kurang sesuai untuk para graduan baharu. Belia juga harus dilatih memiliki pelbagai kemahiran asas selain ilmu teori, supaya dapat menggunakan segala kemahiran dimiliki sebagai sumber pendapatan kelak.

Menurut kajian, Institute for Research & Development of Policy (IRDP), Universiti dan kolej di Malaysia menghasilkan lebih daripada 200,000 graduan tempatan dengan kelayakan diploma dan ijazah sarjana muda setiap tahun. Namun, mereka yang memasuki pasaran pekerjaan akan ditawarkan dengan gaji yang sangat rendah. Walau bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan selain menerima tawaran tersebut supaya mereka tidak akan menganggur. Pada masa yang sama, kadar pengangguran dalam kalangan belia juga agak tinggi, iaitu pada kadar 10.8% pada tahun 2018. Isu di atas berlaku disebabkan ketidaksepadanan antara bekalan buruh dengan permintaan terhadap tenaga kerja di pasaran. Terdapat kekurangan penciptaan pekerjaan, terutamanya pekerjaan berkemahiran tinggi yang sesuai dengan kelayakan siswazah muda ini. Ini telah menyebabkan ramai graduan muda yang menganggur di Malaysia, dan lebih utama mengakibatkan ramai yang bekerja di bawah potensi sebenar. Malangnya, kerajaan tidak menerbitkan sebarang statistik mengenai pekerjaan di bawah kapasiti sebenar (underemployment) di Malaysia.

Campur tangan langsung kerajaan diperlukan untuk mengatasi masalah ini yang akan menjejaskan usaha dalam meningkatkan daya saing ekonomi kita untuk jangka masa panjang. Bagi menangani isu struktural ini, penulis mengesyorkan tiga cadangan dasar iaitu; meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dihasilkan oleh universiti tempatan serta memberi ruang kepada pihak kerajaan bertindak sebagai majikan sementara untuk graduan menganggur. Ini membolehkan mereka dilatih dan dipertingkatkan kemahiran dalam bidang yang mampan dan mempunyai masa hadapan; dan kerjasama sektor awam dan swasta untuk memastikan pekerja dibayar gaji yang setanding dengan kos sara hidup.

Belia khususnya graduan muda, adalah salah satu tulang belakang utama untuk pembangunan negara. Belia dalam usia perdana mereka akan menjadi salah satu penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi. Bagaimanapun, tanpa campur tangan yang tepat oleh kerajaan untuk menangani masalah pengangguran belia dan bekerja di bawah kemampuan sebenar, potensi besar generasi muda akan menjadi sia-sia.

Masalah tahap pendapatan yang rendah dalam kalangan belia hanya akan bertambah buruk jika digabungkan dengan isu-isu ekonomi lain yang juga dihadapi warga belia seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kenaikan harga hartanah, peningkatan kos sara hidup, keperluan membeli kereta kerana akses terhad pengangkutan awam dan peningkatan kos penjagaan kanak-kanak. Adalah selamat untuk mengatakan bahawa salah satu daripada penyelesaian utama untuk menangani peningkatan kos ini adalah dengan meningkatkan tahap pendapatan rakyat, terutamanya warga graduan muda.

Pada masa sama, kerajaan perlu melihat kembali dasar pengambilan pekerja asing dalam negara. Memandangkan negara menghadapi pelbagai masalah akibat penularan Covid-19, penting supaya sektor pekerjaan dalam negara termasuk sektor 3D (kotor, susah, dan bahaya) diberikan keutamaan kepada warga tempatan bagi mengelak isu pengangguran membelenggu terutamanya dalam kalangan belia.

Kerajaan mesti mengambil pendekatan proaktif untuk menangani masalah ini sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar dan tidak dapat dikawal. Pelaburan untuk belia hari ini adalah pelaburan untuk masa depan negara. Sekali lagi Majlis Pekerjaan Negara adalah medan terbaik untuk menangani isu ini.

[Persidangan meja bulat ini berlangsung secara dalam talian melibatkan panelis Dr. Mohd Sayuti Hassan, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global, Universiti Sains Malaysia; Jufitri Joha, Presiden MBM dan Sdr. Lim Swee Bok, Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang]

2 Komen

  1. Bijak pandai, professor2 dan pemimpin2 negara yang berfikir berdasarkan teori lapuk tak menyelesaikan masalah

  2. Sebab apa? belum dihadkan pendatang cina keling dalam sektor niaga ekonomi memandangkan DEB 30% equity ekonomi untuk pribumi Melayu sangat rendah berbanding nisbah kaum dengan minority cina keling. Tambahan lagi, warga asing dibenarkan niaga ekonomi yang sepatutnya dihadkan kerja 3D untuk menyara anak dan bini warga tempatan. Padahnya Kontrak Sosial ke atas hak perlembagaan keistimewaan Melayu semenjak pendatang buruh cina keling diberi warga tempatan sebab menguntungkan ekonomi penjajah British.

Comments are closed.