Home Politik Jangan terhegeh-hegeh buka jalan kepada AS campur tangan

Jangan terhegeh-hegeh buka jalan kepada AS campur tangan

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Setelah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak ‘campur tangan asing’ berhubung skandal 1MDB kini Nasrudin Hassan pula menyatakan perkara yang sama berhubung isu berkenaan.

Ketua Penerangan Pas itu memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak membuka jalan kepada Amerika Syarikat  (AS) untuk campur tangan dalam membabitkan urusan negara.

Nasrudin dalam satu kenyataannya hari ini berkata, apa yang berlaku di AS jangan dicampur aduk dengan Malaysia tanpa sebarang bukti yang kukuh.

“Soal mereka nak siasat apa yang berlaku berkait dengan hal ehwal negara mereka, biarkan mereka. Tidak perlu dari pihak negara kita ada pihak yang terhegeh-hegeh membuka jalan masuk kepada Amerika kerana Amerika juga bukan pihak yang boleh dipercayai dengan lagak mereka sebagai Polis Dunia itu.

“Pada masa yang sama, Datuk Seri Abdul Hadi (Awang) telah kemukakan peringatan tegas agar tidak usahlah kita mengundang atau membuka jalan kepada pihak asing khasnya Amerika untuk campurtangan,” katanya.

Nasrudin mengulas mengenai tindakan Abdul Hadi yang menolak campur tangan asing dalam isu 1MDB yang dikaitkan dengan kerajaan BN tetapi digunakan oleh pembangkang lain sebagai kenyataan mempertahankan kerajaan yang ada.

Malah tindakan Abdul Hadi itu dipuji akhbar pro kerajaan, Mingguan Malaysia hari ini menerusi satu ruangan Analisis Mingguan yang setuju dengan tindakan Ahli Parlimen Marang untuk tidak terus merima bulat-bulat dakwaan DoJ itu.

Bagaimanapun, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, Pas tetap bertegas agar kerajaan menubuhkan Siasatan Diraja bagi kes 1MDB bagi membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi mengikut Akta 119.

Katanya, kerajaan tidak boleh berlengah dalam menangani isu ini dan tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan siasatan rapi.

“Lengah membawa padah. Rakyat hilang kepercayaan kepada wibawa kerajaan. Tiada siapa yang boleh dilindungi, yang salah tetap salah maka ia mesti diseret ke muka pengadilan walau siapa mereka.

“Lantaran itu, siasatan yang telus dan tindakan yang serius mesti dilakukan. Negara mesti bersih dari dakwaan skandal kewangan terbesar ini.

“Berapa kali maruah negara dibiarkan tercalar? Skandal BMF, PERWAJA, KWSP, FOREX, PKFZ dan kini 1MDB. Kita tidak mahu negara ini ditanda sebagai NEGARA KORUPSI,” tegas Nasrudin lagi.

Isu berhubung 1MDB kembali hangat apabila DoJ memfailkan saman sivil ketiga yang mendakwa antara lain wang yang didakwa diselewengkan dari dana itu telah digunakan untuk membeli 28 set barangan kemas, termasuk rantai berlian AS$27.3 juta untuk isteri MO1. – MalaysiaGazette