Home Nasional Pengumuman Muhyiddin jangan bermotif politik, kata Salahuddin

Pengumuman Muhyiddin jangan bermotif politik, kata Salahuddin

Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinasihat untuk meletakkan kepentingan rakyat di hadapan mengatasi kepentingan politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar pengumuman yang akan dibuatnya pada Isnin depan tidak bermotifkan politik semata-mata.

“Apa pun tindakan yang diambil perlulah untuk kepentingan rakyat, bukan untuk survival politik.

“Cari titik tengah antara tindakan pencegahan dan kelangsungan mata pencarian rakyat,” ciap Ahli Parlimen Pulai itu hari ini.

Salahuddin mengulas mengenai kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan Muhyiddin akan membuat pengumuman khas pada Isnin ini mengenai tindakan dalam menangani jangkitan Covid-19.

Malaysia menyaksikan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Untuk rekod, rekod tertinggi kes harian Covid-19 dicatatkan pada Khamis lalu dengan 3,027 kes baharu.

Menurut Ismail Sabri lagi, kerajaan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memperhalusi dan menilai tindakan-tindakan yang perlu diambil segera untuk mengawal jangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette