Home Ekonomi IPP November 2020 susut 2.2%

IPP November 2020 susut 2.2%

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 2.2 peratus pada bulan November 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Kemerosotan IPP pada bulan November 2020 disebabkan oleh kejatuhan dalam indeks perlombongan dan indeks elektrik apabila masing-masing mencatatkan penurunan 15.4 peratus dan 2.5 peratus.
Sementara itu, indeks pembuatan terus berkembang 2.0 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 2.0 peratus pada bulan November 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.4 peratus pada bulan Oktober 2020.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan November 2020 adalah Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (8.3%), Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (6.5%) dan Produk Petroleum, Kimia, Getah
& Plastik (2.0%).
Output sektor perlombongan menguncup 15.4 peratus pada bulan November 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Penurunan tersebut dipengaruhi oleh indeks Minyak Mentah & Kondensat (-15.8%) serta indeks Gas Asli (-15.1%).
Output sektor elektrik menurun 2.5 peratus pada bulan November 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, katanya. – MalaysiaGazette