Home Politik Azmin sifatkan teguran Anwar bukan dituju kepada Tun M

Azmin sifatkan teguran Anwar bukan dituju kepada Tun M

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bersalaman bersama orang ramai sambil diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya peringkat negeri Selangor di Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, Selangor.

AMPANG – Teguran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sikap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang cuba mendominasi struktur organisasi Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak dituju kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan ia sebagai satu gerakan reformsi agar PH tidak terikut-ikut dengan cara Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak mahu menafikan peranan mana-mana individu dan sebenarnya mereka telah berikan sumbangan lebih besar ke arah perubahan dalam PRU-14. Sekarang kita hendak gabungkan semua kekuatan yang ada secara inklusif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri di Pandan Indah di sini hari ini.

Anwar pada 17 Jun membuat teguran terhadap sikap PPBM itu daripada tirai besi di Penjara Sungai Buloh.

Teguran itu dibuatnya selepas PPBM dikatakan cuba membolot jawatan penting seperti Pengerusi dan Presiden dalam PH.

Dalam pada itu, Azmin yang merupakan Menteri Besar Selangor berkata, PH pada ketika masih lagi membincangkan struktur kepimpinan gabungan pembangkang itu sebelum diumumkan kelak.

“Saya tidak terlibat dalam mesyuarat lepas kerana berada di Mekah mengerjakan Umrah. Bagaimanapun saya dimaklumkan Presiden parti bahawa proses perbincangan berjalan baik dan lancar. Cuma kita perlu perkemas sedikit sahaja lagi kerana pada masa sama kita mahu fokus memastikan semua perbincangan ke arah PRU-14 itu juga berjalan baik dan lancar.

“Saya kira sekarang mood raya masih ada jadi pimpinan masih ada dikawasan masing untuk bersama-sama menyantuni rakyat. Selesai Syawal nanti kita boleh kemukakan struktur yang jelas termasuk perkara-perkara berkaitan PRU-14,” ujarnya. – MalaysiaGazette