Home Politik Tangani persepsi rakyat guna media sosial

Tangani persepsi rakyat guna media sosial

SHAH ALAM, 2 Julai 2017. Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Datuk Ahmad Mua'adzam Shah Ya'akop menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan Klang.
KLANG – Sudah tiba masanya Pergerakan Pemuda UMNO memanfaatkan media sosial bagi menangani persepsi negatif rakyat terhadap parti pemerintah itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop berkata, bagi mendepani budaya politik baharu, pendekatan tradisional tidak memadai tanpa mengikuti perkembangan teknologi hari ini.

“Kita tak boleh ikut cara tradisional saja, kita buat khidmat bakti tapi kena mengambil peluang teknologi yang ada hari ini seperti media sosial.

“Mungkin ada persepsi tidak betul, kita juga kena ambil peluang untuk menggunakan teknologi ini untuk menyampaikan mesej betul dan menangani persepsi rakyat,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aildilfitri Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, di Kg Kuantan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berterusan menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dana 1MDB yang diseleweng.

Katanya, mana-mana parti politik yang gagal memimpin pendapat rakyat juga akan ketinggalan ke belakang dan sukar beroleh kemenangan khususnya menjelang PRU14 nanti.

“Kita kena ambil peluang menerangkan, kalau guna pendekatan menyerang saja akhirnya akan berlaku bertelingkah antara kita.

“Kalau boleh nak memimpin pendapat rakyat supaya faham perkara sebenar agar mereka boleh pertimbangkan (dalam PRU-14),” katanya.

Beliau berkata lagi, dengan cara ini rakyat mudah faham keadaan sebenar dan mudah untuk memilih parti yang benar-benar layak memerintah negara.

“Bila nak pilihan raya itu, rakyat faham, pangkah mana yang tepat, jadi hari ini kita kena sampaikan kepada rakyat keseluruhannya,” jelasnya.

Tambahnya, Datuk Seri Najib Razak merupakan satu-satunya pemimpin negara yang mudah ditemui rakyat sama ada di bandar mahu pun luar bandar.

“Kita susah nak jumpa pemimpin terdahulu di seluruh pelusuk bandar dan kampung, semua dia turun.

“Itu kehebatan Datuk Seri Najib Razak, yang mahu dengar sendiri denyut nadi rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.