
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangannya dengan kes positif harian Covid-19 yang semakin meningkat sehingga empat digit.
Perdana Menteri berkata, berikutan trend itu juga, fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi mampu menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.
Beliau menjelaskan, realiti situasi sistem kesihatan dihadapi negara sekarang ialah sebanyak 15 hospital Covid-19 telah mencatatkan kadar penggunaan katil (bukan ICU) melebihi 70 peratus.
Katanya, di Lembah Klang sahaja, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 seperti di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah mencapai 100 peratus.
Begitu juga di Hospital Sungai Buloh telah mencapai 83 peratus, manakala kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus.
“Ketika ini terdapat lebih 1,450 anggota perubatan di hospital seluruh negara telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas, manakala jumlah kematian pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian 0.41 peratus.
“Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi Mac hingga September 2020.
“Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan mengambil pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan Pusat Kuarantin serta Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC),” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.
Menurut Muhyiddin, bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota dalam dan juga antara negeri, sekali gus menyukarkan usaha KKM menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.
Kata beliau, dalam menangani pandemik Covid-19, penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa singkat.
“Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak ini akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata kerana tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes kematian akan terus meningkat.
“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini, tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan pelbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat,” katanya.
Justeru, kata beliau, berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar kesihatan awam di dalam negara, kerajaan bersetuju tindakan tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19, iaitu menguatkuasakan PKP. – MalaysiaGazette