KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan, pesakit Covid-19 tahap satu dan dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan berkuatkuasa 1 Jan lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, pasukan khas telah diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.
Bagaimanapun katanya, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital serta menjalani proses pemantauan seperti biasa.
Dr Adham berkata, pesakit tahap satu dan dua itu akan diberikan tempoh selama 10 hari, untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir.
“Ujian saringan akan dibuat pada hari ke-10 di rumah masing-masing dan jika mereka negatif, ini bermaksud mereka telah bebas dari Covid-19,” katanya.
“Pasukan penilai telah diwujudkan bagi meneliti kesiapsiagaan isi rumah serta keadaan rumah, kerana jika rumah kecil, pesakit akan dibawa ke hospital.
“Sekiranya fasiliti rumah mencukupi dan ada bilik untuk diasingkan, serta keluarga memahami isu kuarantin dan pengasingan, selain memahami prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM, mereka akan dirawat di rumah,” katanya.
Ditanya bilangan pesakit yang telah menjalani rawatan dan kuarantin di rumah setakat ini, Dr Adham berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan perincian berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.
Dr Noor Hisham pada 4 Jan lepas dilaporkan berkata, KKM mempertimbangkan untuk mengasing dan mengkuarantin pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan di rumah, memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada semakin terhad, susulan peningkatan kes harian yang tinggi. – MalaysiaGazette