![Ejen penghantaran](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2021/01/Ejen-penghantaran-e1610426780130-640x416.jpg)
JOHOR BAHRU – Seorang ejen penghantaran daging sejuk beku dikenakan perintah reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging.
Perintah reman sehingga 16 Januari itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Fathiah Mohd Fedzir, yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membolehkan lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Lelaki berusia 55 tahun yang direman itu diwakili peguambela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Tertuduh yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM dengan menaiki kenderaan agensi itu.
Semalam, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan lelaki itu pada pukul 8 malam tadi, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.
Tiga hari kemudian, dua pegawai Maqis ditahan SPRM Johor, kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang, untuk dibawa masuk ke Malaysia.
Pada 1 Disember tahun lepas, pihak berkuasa telah menyerbu sebuah kilang di Senai, sekali gus mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal, sebelum meletakkan logo halal palsu untuk membolehkannya dijual di pasaran tempatan. – MalaysiaGazette