KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta pengguna yang kembali ke premis masing-masing selepas terjejas dengan banjir untuk bersabar sekiranya bekalan elektrik ke premis mereka masih belum dapat disambung semula.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, bekalan hanya dapat disambung semula apabila pepasangan TNB termasuk pencawang elektrik dan meter di premis pengguna telah kering dan dipastikan selamat.
”Ada keadaan di mana air banjir telah surut di premis pengguna, namun pencawang elektrik di kawasan itu masih ditenggelami air dan masih dihenti tugas.
”Keadaan ini tidak membenarkan TNB untuk menyambung semula bekalan ke kawasan tersebut,” katanya di sini.
Jelas Baharin, faktor keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.
Selain itu, bagi premis pengguna yang ditenggelami air, meter elektrik perlu dipastikan kering terlebih dahulu sebelum bekalan dapat disambung kerana ia boleh membahayakan pengguna.
Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk memeriksa pendawaian di dalam premis mereka dengan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Ini berikutan pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air ekoran banjir mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Fius atau pemutus litar perlu dibersihkan dari kekotoran dan diganti dengan yang baru jika perlu, manakala soket alir keluar (outlet) yang telah ditenggelami air perlu berada dalam keadaan kering dan bersih agar selamat digunakan.
Sekiranya pengguna ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir, sila hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette