KUALA LUMPUR – Biro Politik UMNO yang bermesyuarat hari ini berpendirian bahawa perisytiharan darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak Covid-19 semata-mata.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sejajar dengan rasional yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memhon perisytiharan darurat iaitu untuk menguruskan pandemik Covid-19.
“Maka segala kuasa di bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan yang diedarkan selepas mesyuarat tersebut berakhir.
Menurut beliau, UMNO menerima dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan pengisytiharan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebagaimana nasihat Perdana Menteri.
Agong perkenan darurat hingga 1 Ogos
Bagaimanapun, katanya, parti itu berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara biarpun pelaksanaan Prokamasi Darurat dijalankan oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Kerajaan juga, menurut beliau, harus memberi jaminan untuk mengambil berat kepentingan rakyat dan mengotakan janji bagi menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kelangsungan hidup rakyat.
Ia terutamanya mengenai tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat, lanjutan moratorium dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.
“Usaha harus dilakukan untuk segera mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan Demokrasi Berparlimen sejurus darurat yang diproklamasikan mencapai matlamatnya,” kata Ahmad Zahid lagi. – MalaysiaGazette