KUALA LUMPUR – Darurat yang dilaksanakan bukan sahaja bagi memastikan ekonomi kembali pulih dan keselamatan masyarakat terkawal dalam situasi penularan Covid-19.
Ia juga dilihat sebagai langkah ‘gencatan politik’ yang perlu supaya dapat kembali kepada keadaan dalam pengawalan demi menuju ke PRU-15 seperti jaminan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Naib Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mandela Malakun berkata, sejak Mei 2018 sehingga ke hari ini, rakyat atau masyarakat umumnya telah lama disajikan dengan perlakuan politik perebutan kuasa yang memualkan.
“Dalam kerancuan politik dan kekalutan pandemik serta kegawatan ekonomi dunia, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hampir setahun yang lalu sebelum ini telah membuktikan berjaya mengawal penularan pandemik, memacu ekonomi negara serta berkebajikan dalam membantu kesukaran yang dihadapi rakyat melalui pelbagai bantuan dan pakej rangsangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mandela, saat Muhyiddin mengambil alih kerajaan, PN ternyata berfungsi dengan jayanya menerusi bajet sedia ada yang ketika itu tidak memfokuskan kepada himpitan kesan Covid-19 dan kali ini belanjawan segenapnya telah diluluskan menerusi Parlimen demi memacu ekonomi dan membantu masyarakat yang meletakkan fokus bajet atas kesan kegawatan ekonomi dan situasi pandemik.
“Malah atas kuasa prerogatif Yang Dipertuan Agong sendiri memperlihatkan penilaian baginda yang mengisytihar darurat jelas mendasari kehendak rakyat yang telah muak dan marah dengan permainan perebutan kuasa politik yang tidak berkesudahan.
“Justeru, inilah masanya kita kembali bersatu hati, meletakkan segala iltizam segandingan dari pimpinan hingga ke masyarakat, dalam pada memastikan kita mampu ‘ratakan lekuk’ sekali lagi, sebegitu menolak segala jenis politik perebutan kuasa yang memualkan yang turut menjadi punca kepada gelombang semasa penularan kes Covid-19, di samping menghormati kuasa yang sememangnya terletak pada YDPA dan dibenarkan Perlembagaan Persekutuan, dari itu menjunjung kepimpinan eksekutif Muhyiddin di bawah kuasa Agong menerusi ordinan darurat untuk memastikan Malaysia mampu keluar dari situasi Covid-19 dan ekonomi kembali dipulihkan,” ujarnya.
Menurutnya, ini peluang untuk menilai tekad bakti kerajaan PN yang selama ini bersungguh dalam menyatakan politik khidmat membantu mesyarakat namun seringkali diganggu gugat oleh mereka yang gila kuasa yang tidak senang duduk kerana ‘doktrin pengasingan kuasa’ yang dijulang kerajaan PN.- MalaysiaGazette