Home Nasional Kes dera amah tangguh, suspek jalani kuarantin Covid-19

Kes dera amah tangguh, suspek jalani kuarantin Covid-19

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kes pasangan suami-isteri yang disyaki mendera pembantu rumah Indonesia yang sepatutnya dituduh esok di Mahkamah Jalan Duta ditangguhkan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pendakwaan terhadap kedua-dua suspek berusia 42 dan 41 tahun itu terpaksa ditunda kerana salah seorang daripadanya dikesan kontak rapat kes Covid-19.

“Penangguhan itu dibuat atas kebenaran Timbalan Pendakwaraya kerana salah seorang suspek merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

“Beliau sedang dikuarantin dan tarikh baharu pertuduhan ke atas kedua-dua suspek akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan pasangan yang ditahan pada 25 November 2020 di Taman Batu, Jinjang Kepong di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran ATIPSOM 2007 oleh Bukit Aman mendapat kebenaran untuk dituduh di mahkamah esok.

Eng Lai dalam kenyataan semalam berkata, suspek wanita  menghadapi lima pertuduhan manakala suaminya selaku suspek kedua dalam berdepan satu pertuduhan.

Mangsa wanita warga Indonesia berusia 26 tahun pula dalam kejadian 24 November lalu telah mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai akibat didera kedua-dua suspek itu.

Eng Lai berkata, polis turut merampas sebilah pisau, gunting, kerusi serta periuk yang dipercayai digunakan oleh pasangan itu sebagai senjata untuk mendera mangsa.

“Badan mangsa melecur teruk akibat penderaan oleh pasangan suami isteri tidak berperikemanusiaan itu. Siasatan awal polis mendapati mangsa menetap dan bekerja sebagai pembantu rumah di rumah suspek sejak 13 bulan lalu.

“Hasil siasatan, kedua-dua suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi kerja pembantu rumahnya menjadi punca mangsa didera teruk, dan selain didera dan dicederakan, pekerja malang itu tidak dibayar gaji bulanannya,” tegasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pembantu rumah cedera teruk didera