KETIKA artikel ini ditulis, satu pengisytiharan darurat telah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong beberapa jam yang lalu. Seperti yang dijangka, proklamasi ini telah menarik pelbagai reaksi oleh pelbagai pihak; dimana ada yang menyokong, namun tidak kurang juga yang mengkritik proklamasi tersebut. Menelusuri sejarah, proklamasi darurat bukanlah sesuatu yang baharu malahan telah diisytiharkan beberapa kali selepas negara mencapai kemerdekaan. Apa yang menariknya, proklomasi yang dibuat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ini dilihat berevolusi dengan giatnya, terutama di dalam tempoh dua tahun yang sudah. Interpretasi terhadap darurat juga dilihat semakin dinamik dan tidak lagi terhad kepada situasi-situasi anacaman keselamatan tertentu sahaja.
Mengapa perlu darurat?
Darurat secara umum memberi maksud kepada ancaman yang nyata terhadap keselamatan, ekonomi, ataupun ketenteraman awam. Oleh itu, secara amnya ancaman bersenjata ataupun elemen keganasan bukanlah prasyarat utama sesebuah darurat. Apa yang lebih penting, Yang di-Pertuan Agong berpuashati bahawa terdapat ancaman-ancaman yang dinyatakan di atas, dimana-mana kawasan didalam Persekutuan Malaysia, atau mana-mana bahagiannya. Skop ancaman-ancaman ini boleh diberi interpretasi yang lebih meluas dan boleh meliputi permasalahan-permasalahan khusus seperti isu kesihatan awam, bencana alam, mahupun masalah politik dalaman yang mampu mengganggu gugat kestabilan negara. Ini boleh dilihat berdasarkan pengiytiharan-pengisytiharan darurat yang terdahulu seperti di Sarawak (1966), Kelantan (1977), dan yang terbaru di Batu Sapi (2020). Dalam masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dengan nasihat Perdana Menteri untuk membuat proklamasi darurat tersebut, sepertimana yang terjadi pada Oktober 2020.
Permasyuran darurat yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong akan membawa kepada suatu penggubalan undang-undang khas, yang dikenali sebagai Ordinan Darurat. Ordinan ini boleh digubal oleh Yang Di-Pertuan Agong, ataupun Parlimen – sekiranya kedua-dua majlis parlimen masih dalam bersidang. Secara amnya, Ordinan Darurat tersebut berperanan untuk mengawasi aspek-aspek dan skop pemerintahan darurat yang diisytiharkan. Lebih menarik, walaupun Ordinan Darurat dianggap sebagai sebuah Akta Parlimen, namun Perlembagaan Persekutuan mengizinkan Ordinan tersebut untuk tidak selaras dengan peruntukan-peruntukan dibawah Perlembagaan Persekutuan, kecuali mengenai beberapa perkara yang digariskan perlembagaan.
Secara ringkasnya, proklamasi darurat dilakukan bagi tujuan untuk mengesampingkan norma undang-undang sedia ada, bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan atau krisis yang dihadapi negara, yang tidak dapat diselesaikan melalui saluran biasa. Dengan cara itu, kerenah birokrasi yang memakan masa misalnya, dapat diketepikan bagi mempercepatkan dan mempermudahkan masalah tersebut diselesaikan secara lebih efektif.
Kesan kepada demokrasi
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, Perlembagaan adalah tunjang utama di negara ini. Namun, proklamasi darurat boleh menggantung perlembagaan dan ini termasuklah menggantung jaminan-jaminan hak asasi manusia di dalam perlembagaan persekutuan seperti hak kebebasan bergerak, hak untuk bersuara, hak untuk berhimpun, dan sebagainya. Dalam pada masa yang sama, pihak berautoriti juga boleh mengaktifkan elemen ketenteraan jika difikirkan perlu dan bersusaian. Namun yang demikian perlu ditegaskan bahawa, tidak semua darurat memerlukan intervensi ketenteraan.
Melalui sekatan-sekatan yang dijalankan dan kebolehan untuk menggantung perlembagaan, ia secara langsung dan tidak langsung akan memberikan kuasa yang lebih kepada pemerintah, yakni lebih daripada kebiasaannya. Secara idealnya, kuasa-kuasa yang diberikan ini haruslah digunakan secara berfokus, adil, dan saksama bagi menguruskan krisis atau permasalahan genting yang sedang dihadapi negara; misalannya bagi tujuan menghadapi dan menghentikan ancaman penularan sesuatu wabak penyakit. Oleh yang demikian, kuasa-kuasa tersebut haruslah dipulangkan semula kepada parlimen yang mewakili rakyat sejurus sahaja krisis tersebut telah berjaya diselesaikan.
Namun yang demikian, pengkritik-pengkritik undang-undang darurat menyuarakan kebimbangan bahawa, proklamasi darurat mampu memusnahkan struktur asas sesebuah demokrasi. Hal ini disuarakan disebabkan oleh kebimbangan bahawa pihak pemerintah akan mempunyai kuasa yang lebih besar, sekaligus boleh membawa kepada pencabulan ke atas keistimewaan kuasa yang diberikan. Darurat juga dikhuatiri akan mendorong kerajaan untuk bersifat lebih ‘draconian’ didalam menguruskan negara, sekali gus boleh merosakkan konsep semak dan imbang yang diamalkan di sesebuah demokrasi.
Kekhuatiran ini ada asasnya oleh kerana banyak kediktatoran di negara-negara lain lahir bermula daripada sebuah proklamasi darurat. Dalam pada masa yang sama proklamasi darurat turut mampu menjejaskan hubungan federalisme diantara pihak berkuasa persekutuan dan negeri. Hal ini kerana kuasa-kuasa
negeri yang pada asasnya telah dibahagikan melalui Jadual Kesembilan Perlembagaan boleh diambil alih oleh kerajaan persekutuan kecuali perkara-perkara yang berkenaan dengan agama islam, adat istiadat melayu, dan sebagainya.
Pengisytiharan Darurat 12 Januari 2021 dan harapan rakyat
Berbeza dengan proklamasi-proklamasi darurat yang terdahulu, Darurat yang diisytiharkan pada harini (12 Januari 2021) adalah lebih berfokus kepada usaha untuk menangani krisis pandemik Covid-19 yang melanda serta bagi menguruskan bencana banjir yang sedang melanda dibeberapa negeri di Malaysia. Kes jangkitan Covid-19 dilihat semakin meruncing, dan dalam pada yang sama tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan. Sektor kesihatan awam berada didalam keadaan yang amat tertekan sehingga ada hospital-hospital beroperasi didalam kapasiti yang penuh dan tidak lagi mampu menampung jumlah pertambahan pesakit.
Walau bagaimanapun, ada pengkritik-pengkritik berpendapat bahawa pengisytiharan darurat tersebut dibuat sebagai satu jalan keluar bagi mengekalkan kuasa kerajaan sedia ada. Kesimpulan ini dibuat secara hubungkait dengan dengan krisis politik yang dihadapi mutakhir ini. Hal ini kerana, melalui pengiystiharan darurat, pilihanraya umum mahupun pilihan raya kecil tidak boleh diadakan. Pendapat-pendapat ini walaubagaimanapun telah dinafikan secara langsung oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana menurut beliau sebab utama untuk tidak mengadakan pilihan raya-pilihan raya tersebut adalah bertujuan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 daripada menjadi semakin parah, dan tidaklah bertujuan untuk monopoli kuasa.
Berturutan dengan itu, satu jawatankuasa khas bebas telah dibentuk, yang dianggotai oleh pelbagai pemegang taruh termasuklah pihak pembangkang bagi menjamin perlaksanaan darurat yang telus dan adil. Jawatankuasa ini berperanan untuk menasihati Baginda Yang Dipertuan Agong berkenaan dengan perjalanan proklamasi darurat, termasuklah berkaitan dengan penerusan dan pembatalan proklamasi darurat tersebut.
Sebagai rakyat biasa, semestinya kita berasa bimbang dan gementar berturutan dengan pengisytiharan ini. Sudah tentulah kita mengharapkan bahawa proklamasi tersebut tidak membawa apa-apa kesan yang lebih buruk kepada rakyat. Didoakan supaya krisis-krisis yang melanda negara dapat diselesaikan dengan baik, dan seterusnya membuka ruang supaya mandat dapat dikembalikan semula kepada rakyat. Melalui mandat ini, rakyat bolehlah menentukan sama ada untuk mengekalkan kerajaan sedia ada atau memilih kerajaan yang baharu, bagi menghadapi cabaran pasca pandemik yang dijangka jauh lebih getir.
Oleh: Dr Hafidz Hakimi Haron
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Melaka.