Home Nasional PKP: Solat Jumaat, fardu ditangguh, akad nikah secara sidang video – JAIS

PKP: Solat Jumaat, fardu ditangguh, akad nikah secara sidang video – JAIS

Dua jemaah menunaikan solat sunat bagi mengambil keberkatan bulan ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2019.

SHAH ALAM – Solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau di Selangor ditangguhkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, solat Jumaat digantikan dengan solat zuhur di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun katanya, hanya lima petugas masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Bagi majlis akad nikah pula katanya, ia akan dijalankan secara sidang video hanya kepada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di masjid pengurusan.

“Pelaksanaan akad nikah secara sidang video akan dilakukan pendaftar yang berada di PAID manakala pengantin, wali dan dua saksi berada di rumah. Pegawai Tadbir Agama (PTA) setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akad nikah berdasarkan janji temu yang telah diatur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, perkhidmatan utama JAIS khususnya melibatkan urusan nikah, cerai dan rujuk dilakukan secara dalam talian selain 10 kaunter talian telefon untuk konsultasi dan urusan janji temu dibuka.

Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi talian 03-5514 3600 atau 03-5514 3400 sepanjang waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat selain platform e-mel di [email protected]. – Bernama