Home Nasional Harap dapat landaikan lengkuk Covid-19 Mei ini – Noor Hisham

Harap dapat landaikan lengkuk Covid-19 Mei ini – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka mampu melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 pada bulan Mei ini berikutan tindakan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri selama 14 hari bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah optimis ia dapat dicapai sekiranya rakyat terus memberi kerjasama dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP)  termasuk duduk dirumah jika tidak mempunyai sebarang urusan.

“Setakat ini masih terlalu awal untuk melihat unjuran kes bagi bulan April dan Mei teteapi kita ada unjuran berkenaan.

“Apa yang penting kita berada di landasan yang betul dan kita harap kepatuhan rakyat kita terhadap SOP, jika boleh semua rakyat Malaysia berada di rumah, dengan kaedah ini kita harap dapat menurunkan graf Rnaught semula,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, pihaknya menjangkakan sasaran melandaikan jangkitan dalam tempoh 12 minggu.

“Jangkaan kita pada Mei ini kita boleh melandaikan kes dan jangkitan dalam negara kita,” katanya.

Justeru kata Noor Hisham, kes positif tertinggi dalam negara iaitu lebih 3, 000 kes yang dicatatkan semalam telah melebihi unjuran kes iaitu nilai R atau R-Naught melebihi 1.1.

“Semalam, kita mencatatkan peningkatan kes tertinggi, jika mengikut unjuran yang diramalkan, jangkaan kita akan mencapai 3,000 kes sehari adalah sepatutnya pada bulan Februari manakala 5,000 pada April ini dan 8,000 kes pada penghujung Mei ini dengan menggunakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Oleh kerana PKPB tidak berkesan dan sukar untuk melandaikan kes, jadi kita mengubah strategi dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri yang akan memberi kesan dan keputusan yang diharapkan.

“Jadi kita berharap boleh mendapat kerjasama dari semua lapisan masyarakat di negara ini untuk sekali lagi bersama-sama melandaikan graf Covid-19,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

+ posts