Home Nasional Banci bersemuka di kawasan PKPP, PKPB sahaja

Banci bersemuka di kawasan PKPP, PKPB sahaja

KUALA LUMPUR – Gerak kerja Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka akan disusun semula berdasarkan tiga kategori susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari mulai 13 hingga
26 Januari 2021.

Pejabat Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) operasi pembancian di Lapangan Banci Malaysia 2020 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara akan digunakan dalam pembancian Fasa Kedua.

Pembancian bersemuka dibenar untuk dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, operasi pembancian secara bersemuka adalah tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Bagi kawasan ini, maklumat banci akan dikumpul secara dalam talian iaitu melalui platform e-Census (Banci Dalam Talian) dan kaedah panggilan telefon mengikut kesesuaian.

Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, tempoh PKP perlu diguna sebaiknya bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang semakin meningkat dalam negara.

Oleh itu, semua pihak memainkan peranan penting dalam sama-sama melandaikan lengkukan kes Covid-19.

Justeru, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membuka semula platform e-Census (Banci Dalam Talian).

Berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 8.8 juta atau 27.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.

Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru mengisi maklumat banci secara dalam talian dan bagi mereka yang memerlukan ID untuk mengisi e-Census, boleh berhubung dengan Helpdesk melalui [email protected] atau merujuk kepada DOSM Negeri berdekatan. – MalaysiaGazette