SHAH ALAM – Mangsa banjir di Temerloh, Pahang telah menerima sebanyak 300 tuala yang disumbangkan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).
Yang dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, antara sumbangan lain ialah telekung, sejadah, kain pelikat dan barangan dapur.
“Alatan kebersihan dan kemudahan untuk mereka menunaikan solat akan diberikan terlebih dahulu.
“Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban dan mengurangkan kerisauan mereka,” kata Masdiana dalam kenyataan.
Beliau berkata, Pekawanis akan menyerahkan kesemua bantuan itu menerusi Misi Bantuan Banjir bermula 15 Januari sehingga 18 Januari ini.
Misi ini turut disertai sukarelawan dari NGO Persaudaraan dan Kasih Sayang, Sukarelawan Shah Alam, Anak Muda Kota Raja dan Sukarelawan Kapar.
Temerloh antara daerah yang terjejas teruk akibat banjir terutama Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut dan Lanchang. – Semoga MalaysiaGazette