Home Nasional Kembalikan fungsi Parlimen – Wadah

Kembalikan fungsi Parlimen – Wadah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengumuman perintah darurat oleh kerajaan menjadikan proses semak dan imbang yang dimainkan oleh institusi Parlimen terhenti.

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) berpendirian bahawa proses semak dan imbang adalah satu prinsip yang mesti sentiasa ditegakkan dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Dengan ketiadaan prinsip ini, negara kita boleh terdedah kepada satu bentuk penyalahgunaan amanah kerana badan eksekutif tidak lagi terikat dengan prinsip kebertanggungjawaban dan penilaian.

“Wadah bimbang, keadaan ini akan mengheret negara kepada satu amalan pemerintahan yang hanya berpusat mutlak kepada badan eksekutif, sebuah amalan yang mesti ditegah dari terjadi di negara tercinta ini,” kata Presiden Wadah, Ahmad Azam Abdul Rahman yang turut bimbang kesan pergantungan Parlimen terhadap keberkesanan pelaksanaan pencegahan Covid-19.

Ini kerana, dalam situasi ketiadaan proses semak dan imbang, Parlimen tidak lagi dapat berfungsi memantau, menegur dan mencadangkan langkah-langkah terbaik ke arah keberkesanan pelaksanaan pencegahan wabak yang menular.

Pencegahan wabak memerlukan penglibatan semua pihak terutama sekali ahli-ahli Parlimen yang menjadi saluran suara akar umbi rakyat terbanyak.

Selain itu, Wadah juga berasa bimbang kesan pergantungan Parlimen terhadap kestabilan ekonomi negara kerana boleh mewujudkan satu tanggapan negatif terhadap pentadbiran kerajaan Malaysia oleh masyarakat antarabangsa, mengikis keyakinan dalam kalangan para pelabur dan melemahkan kegiatan perdagangan yang amat diperlukan negara dalam keadaan kelembapan ekonomi dunia.

Sehubungan itu, Ahmad Azam menyeru kerajaan mengatur langkah segera bagi mengembalikan semula fungsi Parlimen demi memastikan keutuhan sistem kenegaraan dan mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa.

Pihak kerajaan hendaklah menghormati sistem demokrasi berparlimen dan bersedia berhadapan dengan realiti amalannya yang telah menjadi sebahagian dari cara hidup kenegaraan Malaysia sejak merdeka, tambahnya.

Tambahnya, kerajaan juga diseru mempercepatkan program vaksinasi bagi mencegah rakyat dari bahaya wabak, meningkatkan program bantuan sosial, kerohanian dan ketahanan mental rakyat terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette