Home Nasional SPRM siasat kehilangan kontena radar tentera

SPRM siasat kehilangan kontena radar tentera

SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima aduan berhubung isu dakwaan kehilangan sebuah kontena dipercayai mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi dari Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor baru-baru ini.

Susulan laporan itu, SPRM akan menghantar pasukan penyiasat ke lokasi berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu sebelum tindakan lanjut diambil.

Pasukan penyiasat akan menilai maklumat-maklumat yang diperoleh untuk mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian tersebut, katanya dalam kenyataan di sini.

SPRM akan mengambil keterangan beberapa orang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.

Selain itu, SPRM juga akan bekerjasama dengan pihak polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan radar tentera berteknologi tinggi tersebut.

Bagaimanapun, siasatan SPRM hanya akan tertumpu kepada elemen rasuah dan salah guna kuasa dan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis. – MalaysiaGazette