KUALA LUMPUR – Tindakan licik geng curi motosikal yang mensasarkan Yamaha Y150 yang bermaharajalela di sekitar Lembah Klang atas nama ‘Geng Amat Katik’ akhirnya tumpas.
Sindiket yang dianggotai sembilan individu berusia 26 hingga 45 tahun itu aktif sejak lebih setahun lalu.
Geng ini menjalankan aktividi mencuri atas permintaan dari pelanggan sahaja.
Geng Amat Katik menggunakan modus operandi mencuri motosikal dengan pelbagai kaedah iaitu mengangkut motosikal di kawasan perumahan awam, pasar raya dan pusat membeli belah dan meleraikan komponen sepenuhnya sebelum membuang bangkainya dalam belukar untuk elak dikesan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketua kumpulannya yang dikenali sebagai Ahmad Katik berusia 26 tahun antara enam suspek itu yang berjaya dicekup hasil risikan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Sentul dalam beberapa serbuan berasingan antara 29 Disember hingga 5 Januari lalu di sekitar Lembah Klang.
“Hasilnya polis berjaya membuat rampasan 10 buah motosikal, enam rangka motorsikal dan satu bongkah enjin motosikal, kesemuanya bernilai RM40,000.
“Semakan rekod lampau ke atas kesemua suspek memiliki kesalahan lampau jenayah dan dadah.
“Modus operandi mereka adalah apabila ada permintaan pelanggan, barulah mereka mula mensasar dan mencuri motosikal di perumahan awam, pusat membeli belah yang kebanyakannya Yamaha Y150 yang hangat di pasaran tempatan.
“Kaedah yang digunakan dengan mengangkut menggunakan van, menunda menggunakan trak, menggunakan alat khas menghidupkan enjin sebelum melarikannya dengan khidmat rakan-rakan kenalan di kedai atau bengkel haram di kawasan pedalaman yang jauh daripada akses dan pandangan polis,” katanya dalam sidang media kejayaan itu hari ini.
Tambah beliau, siasatan juga mendapati ada juga komponen motosikal yang dicuri telah dileraikan dan dijual dengan harga maksimum RM1,000 dan pernah berjaya dijual merentasi negeri sehingga ke Kuantan, Pahang.
Menurutnya dengan tertangkapnya geng ini polis yakin berjaya menyelesaikan sebanyak 23 kes kecurian motosikal di sekitar Lembah Klang.
Dalam satu lagi kes berlainan pada 25 Disember lalu, jam sekitar 7.40 pagi, polis turut menumpaskan sebuah sindiket geng ‘Am Senu’ yang aktif dalam kecurian motosikal di daerah Sentul sejak tiga bulan lalu dalam Ops Lejang.
Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang sedang mencuri motosikal Yamaha Y150 di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di daerah Sentul.
Kata Eng Lai, hasil siasatan lanjut berjaya membawa kepada empat lagi rakan sejenayah geng tersebut berusia 20 hingga 30 tahun di Lembah Klang.
“Penangkapan lapan suspek Gng Am Senu membantu polis menyelesaikan enam kes kecurian motosikal yang aktif di Sentul selama ini.
“Saya menyeru masyarakat di Sentul supaya lebih berhati-hati apabila parkir motosikal dengan memasang kunci tambahan kerana walaupun polis seringkali menyelesaikan geng curi ini, komuniti tidak boleh alpa tanggungjawab masing-masing,” tegas beliau.-MalaysiaGazette