Home SISWA Pupuk Minat STEM sejak kecil – Taufiq

Pupuk Minat STEM sejak kecil – Taufiq

Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini tidak menghalang Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menjayakan Konvensyen My STEM Ambassador Early Childhood Education 2021 secara dalam talian menerusi Facebook @UMS Official.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, situasi pandemik tidak menghalang penganjuran majlis ilmu dilaksanakan tetapi sebagai peluang untuk meneroka kepakaran bagi kepentingan semua pihak.

“Penganjuran konvensyen bersama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya ini diharap dapat memberi dan menambah kesedaran kepada pendidik, ibu bapa dan masyarakat tentang keperluan dan perkembangan terkini bidang pendidikan, khususnya dalam bidang STEM peringkat awal kanak-kanak.

“Semoga konvensyen ini dapat memberi dimensi baharu kepada pemikiran masyarakat berhubung bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“Kita bukan hanya menanamkan minat kanak-kanak dalam bidang STEM tetapi juga berkaitan bagaimana kanak-kanak dapat meneroka dan bersiap sedia dengan idea baru untuk mencipta teknologi baru apabila dewasa kelak,” katanya pada majlis perasmian konvensyen yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi UMS semalam.

Penasihat My STEM Ambassador UMS merangkap Pengerusi National STEM Association, Profesor Datuk Dr Noraini Idris.

Turut hadir secara maya pada majlis tersebut Penasihat My STEM Ambassador UMS merangkap Pengerusi National STEM Association, Profesor Datuk Dr Noraini Idris yang juga Penceramah jemputan pada konvensyen itu.

Menurut Taufiq, konvensyen tersebut menyediakan platform kepada masyarakat untuk mengetahui kepentingan serta faedah STEM, bukan sahaja untuk masa depan kanak-kanak tetapi juga dalam mengharungi kehidupan seharian yang amat bergantung dengan kemahiran teknologi.

“Saya percaya pendidikan awal kanak-kanak ialah masa yang terbaik untuk mencungkil potensi yang maksimum supaya kanak-kanak cenderung ke arah bidang STEM,” katanya. -MalaysiaGazette