KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam, polis berjaya mencekup seorang penunggang motosikal dan pembonceng motosikal yang meragut rantai emas seorang warga emas selepas memperdayakan mangsa dan anaknya.
Ketua polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis menerima laporan polis daripada wanita tempatan berusia 69 tahun pada 22 Disember lalu, kira-kira jam 4.01 petang.
“Mangsa memaklumkan dia diragut pada hari yang sama jam lebih kurang 2 petang, semasa dia dan anaknya berjalan kaki di tepi Jalan Klang Lama berhadapan Pearl Point.
“Mereka telah didatangi suspek dipercayai seorang lelaki tempatan menunggang motosikal dan suspek telah menegur mangsa dengan memaklumkan duit mangsa tercicir di atas jalan.
“Anak pengadu kemudian telah menoleh ke belakang dan cuba mencari duit yang dimaksudkan. Secara tiba-tiba suspek meragut rantai leher pengadu dan terus melarikan diri dengan motosikal,” kata beliau dalam kenyataan pagi ini.
Akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai lebih kurang RM500.
“Bertindak atas maklumat, pada 15 Januari lalu sekitar jam 2.30 pagi, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields menangkap dua suspek lelaki tempatan serta rampasan di Jalan PJS 3/22, Taman Seri Manja, Petaling Jaya.
“Kedua-dua suspek berusia 31 dan 34 tahun itu mengaku terlibat dengan kes ragut yang disiasat dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama lima hari iaitu sehingga 19 Januari ini.
Anuar berkata, semasa tangkapan dibuat, polis telah berjaya merampas barang-barang daripada suspek iaitu, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu dompet berwarna coklat jenama Coach, satu kad pengenalan (MyPoca); satu cukai jalan motosikal; satu lesen memandu kelas B2 dan D; sekeping kad ATM Maybank.
Turut dirampas sebatang anak kunci motosikal tertera lambang Yamaha, satu anak kunci tertera lambang Honda beserta alat kawalan jauh, Sebuah topi keledar MS88 warna putih, sepasang kasut warna hitam dan putih jenama Tomaz tertera tulisan Heritage; sehelai seluar tracksuit warna hitam jenama Adidas, sehelai sweater berzip warna hitam/putih jenama H&M Sport dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 warna kelabu dan hitam, ujar beliau.
Katanya, semakan rekod jenayah lampau terhadap kedua-dua tangkapan mendapati suspek yang berumur 31 tahun itu mempunyai 25 rekod jenayah lampau pelbagai jenis kesalahan manakala suspek kedua berumur 34 tahun pula mempunyai 21 rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette