KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menzahirkan rasa sedih di atas pemergian bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas hari ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa sama turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Mewakili kerajaan, beliau juga mengucapkan penghargaan terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh Allahyarham dalam memperkasa dan mengangkat intergriti institusi kehakiman negara.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Semoga mereka tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.
“Bagi pihak Kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan Allahyarham dalam memperkasa dan mengangkat integriti institusi kehakiman sepanjang berkhidmat selaku Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.
“Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” tulisnya di Facebook.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia jam 3.20 pagi tadi pada usia 91 tahun akibat pneumonia.
Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahiriah Kuala Terengganu.
Jenazah bekas Ketua Hakim Negara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara pada pukul 10.40 pagi tadi.-MalaysiaGazette