Home Nasional PKP: Jalan Seribu Tahun ditutup, Bandar Mahkota di Banting ditutup

PKP: Jalan Seribu Tahun ditutup, Bandar Mahkota di Banting ditutup

Polis Daerah Kuala Langat menutup jalan 100 tahun bagi mengekang pergerakan masyarakat sempena pelaksanaan PKP di Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Kuala Langat menutup Jalan Seribu Tahun di Bandar Mahkota, Banting Selangor mulai hari ini.

Jalan itu menjadi ‘laluan tikus’ kepada masyarakat setempat bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan polis Kuala Langat di Jalan Banting-Dengkil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan sejak 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, jalan ini merupakan jalan alternatif dari jalan utama Banting menuju ke Dengkil yang akan menghubungkan jalan utama Olak Lempit.

“Laluan tikus itu dikesan digunakan orang ramai untuk mengelak SJR khususnya mereka yang berulang-alik dari Bandar Mahkota dan dari Olak Lempit serta dari bandar Banting.

“Polis mengambil tindakan penutupan ini selepas melihat kepada situasi peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Kuala Langat iaitu di kawasan mukim Tanjung 12(2) terutama melibatkan kawasan Bukit Changgang, Labohan Dagang serta Olak Lempit agak merisaukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau selain itu, pasukannya telah mendirikan lima sekatan jalan raya di laluan utama keluar dan masuk ke Kuala Langat termasuklah Jalan Banting-Dengkil.

Menurut beliau, langkah itu selaras dengan arahan PKP 2.0 dimana pergerakan diminimumkan kecuali atas keperluan tertentu yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pasukan kami juga telah menubuhkan empat pasukan pematuhan Prosedur Operasi Standard bagi memantau kawasan tumpuan awam seperti restoran, tempat rekreasi, premis kerajaan dan pusat beli-belah dan bank.

“Masyarakat setempat diingatkan untuk terus kekal berada di rumah dan tidak keluar sekiranya tiada keperluan mendesak.

“Sepanjang tempoh PKP ini sebarang aktiviti sosial adalah tidak dibenarkan dan dilarang sama sekali termasuklah majlis perkahwinan dan majlis keagamaan.

“Sebarang kemusykilan boleh rujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau menghubungi di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat 03-31872222,” tegas beliau.