PULAU PINANG – Satu sindiket yang aktif memperdaya pemegang kad bank dengan menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya tumpas selepas polis menyerbu sebuah rumah banglo tiga tingkat di Taman Damai Utama, Puchong, Selangor, Sabtu lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 8 pagi itu, polis turut menahan seramai 50 suspek termasuk tiga wanita berusia antara 17 hingga 42 tahun.
Sindiket Macau Scam itu sehingga kini dipercayai sudah memperdaya seramai 82 mangsa melibatkan kerugian berjumlah RM2.74 juta dengan modus operandi menghubungi mangsa secara rawak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad berkata, sindiket itu menjalankan penipuan dengan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun lain atas alasan kad bank mereka digodam.
Tambahnya, suspek yang menyamar sebagai pegawai BNM memberitahu kad bank mangsa digodam sebelum meminta mereka memindahkan sejumlah wang ke akaun lain dan memberi jaminan wang itu akan dikembalikan.
“Suspek juga meyakinkan mangsa untuk menghubungi talian JSJK dan akan dijawab anggota sindiket sama yang menyamar sebagai anggota polis menyebabkan mangsa sukar mengesyaki mereka sedang ditipu.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas skrip penyamaran yang dipercayai digunakan untuk menipu mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi itu digerakkan susulan laporan pertama diterima daripada mangsa wanita dari Balik Pulau dekat sini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada 26 Mei lalu yang mengalami kerugian sebanyak RM5,000.
Menurut Abdul Ghani, turut dirampas dalam serbuan itu adalah 31 pasport antarabangsa atas pelbagai nama; lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba dan tiga fail mengandungi butiran pekerja.
Ujar beliau, kesemua pekerja yang menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 mengetahui modus operandi sindiket dan dipercayai sedang menjalani latihan sebelum dihantar ke United Kingdom; Kemboja, Thailand dan Jepun untuk menipu lebih ramai mangsa.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan selama tiga hari sehingga esok sebelum tempoh reman mereka disambung bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette