Home Akhbar Cina Restoran minta waktu operasi dipanjangkan, senangkan pekerja

Restoran minta waktu operasi dipanjangkan, senangkan pekerja

Foto hiasan.Pekerja menyusun meja sebagai langkah mengikuti arahan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Restoran Nasi Kandar Pelita, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

PETALING JAYA: Restoran-restoran meminta kerajaan untuk memanjangkan waktu operasi mereka di zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain membenarkan dua orang semeja.

Pengusaha berpendapat penutupan restoran pada pukul 8 malam bermakna mereka perlu berhenti menerima tempahan pada pukul 7.30 malam, sedangkan banyak pekerja perlu bertugas sehingga pukul 7 malam di pejabat dan “mencari makan” selepas itu.

Keadaan itu bermakna restoran kehilangan pelanggan golongan tersebut yang pulang dari tempat pekerjaan selepas pukul 7.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya bersama persatuan perniagaan makanan yang lain telah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneliti perkara itu.

Mereka mencadangkan supaya operasi restoran di kawasan PKP dilanjutkan kepada pukul 10 malam.

“Disebabkan hanya boleh membungkus, perniagaan kami adalah sangat teruk pada masa ini.

“Jumlah jualan hanyalah kira-kira 30 peratus daripada hari-hari biasa,” kata Jawahar kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, dengan melanjutkan waktu perniagaan, pelanggan tidak perlu bergesa-gesa untuk melakukan “tapau” selepas habis bekerja.

Selain itu, Jawahar berkata, pengusaha turut meminta “makan di kedai” dengan maksimum dua orang semeja dibenarkan.

“Permintaan ini adalah selari dengan peraturan dua orang satu kereta.

“Kami akan mematuhi semua cadangan yang diberikan Kementerian Kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette