LONDON – Mesut Ozil semakin hampir meninggalkan Arsenal apabila dia dijangka tiba di Turki esok bagi melengkapkan perpindahan ke Fenerbahce secara percuma.
Menurut media Britain, bintang Jerman itu sudah mencapai persetujuan dengan Arsenal untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Ozil, 32, pada mulanya mahu menghabiskan kontraknya yang akan berakhir Jun ini, namun Fenerbahce mahu pemain itu menyertai mereka secepat mungkin.
Namun selepas mengambil kira pengendali pasukan, Mikel Arteta yang menyisihkannya, Ozil akhirnya bersetuju untuk meninggalkan England lebih awal dan melepaskan gaji lumayan 350,000 pound (RM1.92 juta) seminggu yang dinikmati di Emirates.
Sementara itu, The Athletic melaporkan, Ozil akan menerima bayaran 7 juta pound (RM38.39 juta) sebagai persetujuan untuk menamatkan kontrak.
Ozil yang juga pemenang Piala Dunia 2014 tidak beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif bersama Gunners sejak lebih 10 bulan lalu.
Penampilan terakhirnya pada Mac, ketika Arsenal mengalahkan West Ham 1-0, yang mana dia mencipta gerakan untuk gol Alexandre Lacazette.
Sejak menyertai Arsenal dari Real Madrid pada 2013, Ozil sudah beraksi dalam 254 perlawanan, menjaringkan 44 gol dan mencipta 77 bantuan gol.
Dia juga memenangi tiga Piala FA, malah kemenangan yang pertama pada 2014 membantu Arsenal menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa trofi. – MalaysiaGazette