Home Seni Hidup Dayang pilih Tudung Periuk

Dayang pilih Tudung Periuk

Dayang Nurfaizah memilih lagu Tudung Periuk untuk album terbaharunya iaitu Belagu.

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor yang sudah meraih pelbagai anugerah, Dayang Nurfaizah bakal melancarkan album studionya yang kesembilan yang bertajuk Belagu yang dipetik daripada  perkataan dalam dialek Melayu Sarawak.

Belagu membawa maksud menyanyi dan album ini dibarisi lagu Melayu klasik malar segar. Album yang hadir dengan lapan buah lagu ini mengetengahkan intrepretasi segar Dayang Nurfaizah dan disempurnakan dengan susunan dan gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito.

Lagu Tudung Periuk dipilih menjadi trak pertama dari album ini.

Menurut Dayang, pemilihan lagu itu sebagai lagu pertama adalah kerana kemahsyuran lagu tersebut dalam kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.

“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikan, Tudung Periuk cukup jelas mempamerkan esen muzik tradisional Melayu.

“Kami melancarkan lagu ini terlebih dahulu sebagai pembuka kepada semua peminat supaya mereka tahu apa yang bakal kami sajikan kepada mereka sepenuhnya apabila album ini dilancarkan sepenuhnya kelak.

“Jika mereka sukakan Tudung pastinya mereka akan sukakan suntikan segar pada lagu-lagu di dalam Belagu,” katanya wanita berusia 39 tahun ini.

Tudung Periuk dipilih sebagai lagu pertama adalah kerana kemahsyuran lagu itu di kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.

Tambah penyanyi kelahiran Sarawak itu, keistimewaan yang mahu diketengahkan oleh Balgu tidak hanya pada susunan muziknya namun juga pada proses rakamannya sendiri.

Dayang mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara lansung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar.

Process rakaman yang di sempurnakan dalam masa dua hari, diiringi pemuzik-pemuzik hebat dibawah telunjuk Aubrey Suwito.

Meletakkan harapan agar lagu-lagu Melayu klasik akan terus segar, jelas Dayang, menerusi Belagu, dia mahu memperkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar.

“Lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampainnya. Kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” katanya yang popular dengan lagu Senadainya Masih Ada Cinta. 

Belagu diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah, DN & AD ENTERTAINMENT Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Tudung Perikuk boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula kelmarin dan album Belagu edisi digital akan dilancarkan pada 12 Februari depan. – MalaysiaGazette