KUALA LUMPUR – Upacara Thaipusam pada tahun ini di rumah-rumah ibadat (kuil) di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan, Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan.
Keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan selepasĀ perbincangan Kementerian Perpaduan Negara dengan Ketua-Ketua Agama Hindu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kementerian mengambil maklum keputusan semua kerajaan negeri supaya tiada upacara Thaipusam di rumah-rumah ibadat (kuil) di negeri masing-masing pada tahun ini kecuali Perlis.
”Mesyuarat teknikal juga bersetuju Thaipusam boleh dilaksanakan di negeri-negeri di bawah PKPP dengan kebenaran Kerajaan Negeri yang berkenaan dan mengikuti SOP lebih ketat. Sehingga kini, hanya Kerajaan Negeri Perlis di bawah PKPP yang membenarkan upacara Thaipusam,” katanya di sini.
Halimah menegaskan Prosedur Operasi Standard yang ketat yang ditetapkan oleh MKN & KKM bagi mengawal penularan rantaian Covid-19 terutama pada masa yang getir ini. – MalaysiaGazette