KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada kali ini memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi.
Oleh itu, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia.
Pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) juga akan terus merancakkan penggunaan.
Menurutnya, projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga sedar pelaksanaan PKP yang disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa di negara ini mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan.
Namun, tegasnya, pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.
“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal.
“Malah kita telah melihat bahawa sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas hari ini.
Tambah beliau, bagi membiayai pakej bantuan Permai, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat.
Selain itu, kerajaan juga akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar. – MalaysiaGazette