Home Nasional Pembayaran interim i-Sinar mulai 26 Januari

Pembayaran interim i-Sinar mulai 26 Januari

Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KUALA LUMPUR – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon kemudahan i-Sinar di bawah Kategori 2 akan menerima pembayaran interim sehingga RM1,000 daripada jumlah keseluruhan yang dimohon, mulai 26 Januari ini.

Pembayaran interim tersebut bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ahli yang terkesan akibat peningkatan jumlah kes Covid-19 serta bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.

KWSP dalam kenyataan berkata, inisiatif tersebut juga bagi membantu ahli memenuhi keperluan asas, sementara permohonan mereka menjalani proses kelulusan oleh KWSP.

“Untuk mempercepat dan mempermudahkan pembayaran wang interim tersebut, KWSP hanya memerlukan ahli membuat pengisytiharan kendiri dan memuat naik dokumen sokongan di laman i-Sinar Online (isinar.kwsp.gov.my).

“Proses ini diperlukan untuk melindungi simpanan ahli daripada sebarang penipuan atau aktiviti scam,” kata KWSP.

Bagi mereka yang sudah memuat naik dokumen sokongan mereka, pembayaran interim ini akan bermula dari 26 Januari ini.

Untuk permohonan baharu yang masih belum memuat naikkan dokumen sokongan yang relevan, pembayaran interim akan diproses dalam masa tujuh  hari dari tarikh permohonan diterima.

Setelah permohonan ahli disahkan dan diluluskan, KWSP akan meneruskan pembayaran amaun seperti yang dimohon, setelah ditolak amaun pembayaran interim tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya pengisytiharan kendiri didapati tidak benar atau tidak disokong oleh dokumen yang telah dimuat naik, KWSP berhak menghentikan pembayaran seterusnya.

Contoh Situasi Fatimah:

Fatimah mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan memohon untuk membuat pengeluaran sehingga RM10,000* dan memilih RM5,000 sebagai pembayaran pertama. Berikutan pelaksanaan pembayaran interim, jadual pembayaran bagi permohonan Fatimah adalah seperti berikut:

Amaun Pembayaran Interim RM1,000
Amaun Pembayaran Pertama RM4,000
Amaun Pembayaran Kedua RM1,000
Amaun Pembayaran Ketiga RM1,000
Amaun Pembayaran Keempat RM1,000
Amaun Pembayaran Kelima RM1,000
Amaun Pembayaran Keenam RM1,000
Jumlah layak dimohon RM10,000*

*Tertakluk kepada baki Akaun 1.

 

Contoh Situasi Ali:

Ali mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan memohon untuk membuat pengeluaran sebanyak RM700. Baki Akaun 1 Ali hanya RM800. Berikutan pelaksanaan pembayaran interim, jadual pembayaran bagi permohonan Ali adalah seperti berikut:

Amaun Pembayaran Interim RM700
Amaun Pembayaran Pertama Tiada
Jumlah layak dimohon RM700*

*Tertakluk kepada baki Akaun 1 dan perlu meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 di dalam Akaun 1 untuk menikmati faedah sebagai ahli KWSP

— MalaysiaGazette