PUTRAJAYA – Permohonan bagi mendapatkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM500 kepada pemandu bas dan teksi yang diumumkan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), boleh dibuat menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini berkata maklumat lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh APAD dalam masa terdekat.
“Sehingga kini, rekod terdahulu menunjukkan terdapat kira-kira 600 pemohon yang layak tetapi masih belum berdaftar dengan APAD, sekali gus menyukarkan proses penyaluran bantuan dibuat,” katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan PERMAI yang bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif, berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Antara inisiatif bagi pemain industri pengangkutan termasuk bantuan one-off berkenaan yang akan memanfaatkan 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.
Selain itu, kerajaan turut memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama lima tahun, berbanding tujuh tahun sebelum ini.
Syarikat jaminan pinjaman perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi yang memberi jaminan 50 peratus ke atas pinjaman bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
Ia membolehkan pengusaha bas dan teksi menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.
Wee berkata pakej itu diharap memberi kelegaan dan nafas baharu kepada kepada pemain-pemain dalam industri pengangkutan dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik COVID-19.
— BERNAMA
Saya pemandu limousine hotel ada kan sama dapat bantuan seperti Pemandu taxi jugak..please pencerahaan