KUALA LUMPUR – Pakej rangsangan PERMAI bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam hanya akan memberi kesan minimum terhadap kedudukan fiskal kerajaan, kata CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.
Walaupun kerajaan tidak membayangkan suntikan fiskal secara langsung daripada rangsangan PERMAI itu, firma penyelidikan berkenaan menganggarkan bahawa perbelanjaan kerajaan tambahan setelah digabungkan tidak melebihi RM2 bilion atau 0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kami yakin kerajaan mempunyai ruang yang cukup untuk bergerak dalam skop Belanjawan 2021 dan defisit belanjawan 5.4 peratus daripada KDNK untuk menampung perbelanjaan tambahan.
CGS-CIMB berkata PERMAI tidak mungkin mencetuskan reaksi buruk pasaran terhadap kedudukan fiskal kerajaan.
Namun, ia percaya bahawa skop untuk pengembangan fiskal yang signifikan mungkin terkekang oleh siling hutang kerajaan dan kebimbangan mengenai potensi tindakan penarafan berdaulat berikutan penurunan oleh Fitch Ratings baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa tindak balas kerajaan dengan pakej rangsangan PERMAI dapat menghalang desakan untuk pelonggaran monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan oleh itu, ia menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM hari ini.
“Dengan sumber fiskal yang dimanfaatkan, BNM dapat menggunakan pendekatan tunggu dan lihat pada mesyuarat MPC berikutnya, mempertahankan pendirian dasar monetari semasa dan pada masa sama memberi isyarat kukuh ia bersedia melonggarkan dasar lagi sekiranya risiko terhadap pemulihan ekonomi semakin parah.
“Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (MCO 2.0) berlanjutan untuk jangka masa yang panjang, kami melihat kemungkinan bank pusat akan menurunkan lagi OPR pada separuh pertama 2021,” tambahnya. – MalaysiaGazette